Dua anggota polis didakwa rasuah

JOHOR BAHRU 18 Sept. - Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pagi ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada penjaga kedai komputer, Jun tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Asrol Che Hassan, 30, dan Cornelius Guntalib, 27, masing-masing berpangkat Lans Koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak RM500 daripada seorang lelaki berusia 28 tahun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan saman kerana memiliki cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen motosikal dan tidak membuat ujian saringan air kencing.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa bersetuju dan menerima rasuah RM400 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan saman terhadap lelaki berkenaan.

Mereka didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan itu di Pondok Polis Komuniti Tampoi Indah, No. 23 Jalan Mawar 4, Taman Tampoi Indah 2, Tampoi di sini pada pukul 5.30 petang, 16 Jun 2017.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pertuduhan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Syarina Raizan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Muhamad Fairoz Elyas Majeed.

Kamarudin kemudiannya menetapkan RM10,000 sebagai wang jaminan dan seorang penjamin ke atas kedua-dua anggota polis terbabit serta menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/dua-anggota-polis-didakwa-rasuah-1.749610#ixzz5RR9DccV4 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip