RM49.5j disalah guna

PUTRAJAYA 30 Ogos - Sejumlah wang tunai bernilai AS$12 juta (RM49.5 juta) yang dibawa masuk dari luar negara tiga bulan lalu didakwa disalah guna beberapa individu termasuk bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, Hasanah bersama tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang ditahan baru-baru ini dipercayai menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di beberapa lokasi termasuk sebuah kondominium di Cyberjaya, SPRM berjaya merampas wang tunai AS$6.4 juta (RM26.4 juta) dan wang tunai RM980,000 sekali gus menjadikan jumlah ke­seluruhan adalah RM27.6 juta.

“Kesemua wang tunai itu ditemukan selepas SPRM menggeledah lokasi-lokasi terlibat susulan penahanan suspek-suspek berkenaan.

“Malah kami juga menemukan beberapa jam tangan jenama Rolex dan sebuah komputer riba dipercayai dibeli menggunakan wang dibawa masuk itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Azam bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya kaedah wang tersebut dibawa masuk dari negara mana dan tujuannya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk merupakan individu kesembilan ditahan reman bagi membantu siasatan kes sama.

“Lelaki yang mempu­nyai pemastautin tetap (PR) United Kingdom itu ditahan di Kelantan pada pukul 11 malam semalam dan kami turut menemukan wang tunai AS$4 juta (RM16 juta) pada suspek,” katanya.

Menurut beliau, pi­haknya masih mencari baki wang AS$12 juta (RM49.5 juta) iaitu AS$5 juta (RM20.5 juta) dan mengesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu, diminta menghubungi SPRM dengan segera.

Ketika ditanya kaitan wang dari luar negara itu dengan dana kerajaan, Azam menjelaskan, sekiranya wang dibawa masuk dari luar negara dan dipegang oleh penjawat awam, SPRM berpandangan merupakan milik kerajaan.

“Di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, kepada sesiapa pegawai kerajaan menyalah guna kuasa untuk tujuan peribadi, maka mereka akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rm49-5j-disalah-guna-1.738991#ixzz5PzWkzMlB

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip