Kes 1MDB uji Amla

AMLA adalah akronim atau singkatan nama undang-undang utama negara ini yang diluluskan Parlimen untuk membanteras jenayah pengubahan wang haram iaitu Anti-Money Laundering Act 2001 (Akta 613), yang mula berkuatkuasa pada 15 Januari 2002. Akta ini kemudian dipinda pada Mac 2007 untuk membolehkan kerajaan membanteras pembiayaan keganasan. Tajuk asal akta ini dipinda kepada Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Act Financing (AMLATFA), atau dalam bahasa Malaysia, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Sebelum AMLA wujud apabila pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai satu jenayah kolar putih, undang-undang yang dipakai adalah seperti Kanun Keseksaan, Akta Syarikat 1965, Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Kini, dengan adanya AMLA 2001 dan Akta SPRM 2009 (yang menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997), tugas pihak berkuasa membanteras jenayah pengubahan wang haram boleh dijalankan dengan lebih berkesan.

Kesalahan pengubahan wang (money laundering) diperincikan dalam seksyen 4 AMLA sebagai perbuatan seorang itu yang melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan. Juga, memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan atau menggunakan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan.

Selain itu, mengalihkan dari atau membawa masuk ke dalam Malaysia, hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan. Atau merahsiakan, menyembunyikan atau menghalang pemastian sifat sebenar, sumber, lokasi, pergerakan, pelupusan, hakmilik, hak berkenaan dengan atau pemilikan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan.

Hukuman bagi kesalahan pengubahan wang adalah penjara tidak melebihi lima tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau lima ribu ringgit (yang mana lebih tinggi) atau kedua-duanya sekali.

Di bawah AMLA sekarang, sesiapa sahaja yang melakukan satu kesalahan berat atau kesalahan berat asing adalah melakukan aktiviti haram. Siapa sahaja yang melakukan aktiviti haram sama ada dalam negara atau di luar negara, boleh disiasat di bawah AMLA.

Kelebihan AMLA, berbanding undang-undang lain boleh dilihat dalam 4(4) yang menyatakan seorang itu boleh disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1) AMLA tidak kira sama ada dia telah disabitkan dengan satu kesalahan berat di bawah mana-mana akta yang disebutkan dalam Jadual Kedua AMLA itu atau pun satu pendakwaan telah dijalankan terhadapnya di bawah akta tersebut.

Di sebalik `kelebihan’ AMLA seperti yang disebut di atas, namun apabila dibandingkan hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah setelah seorang tertuduh itu disabitkan, hukuman di bawah Akta SPRM 2009 adalah lebih berat lagi. Hukuman penjara maksimum di bawah AMLA adalah lima tahun manakala di bawah Akta SPRM 2009 hukuman penjara maksimum adalah 20 tahun.

Saya kira ramai rakyat negara ini kini sudah meneliti kandungan buku tulisan Tom Wright dan Bradley Hope berjudul Billion Dollar Whale. Buku ini menceritakan perihal Jho Low (yang kini diburu pihak berkuasa kita) menjalankan `aktiviti haramnya’ melibatkan dana 1MDB.

Sama ada pendedahan Wright dan Hope dalam buku ini akan disusuli pada suatu hari nanti dengan pengemukaan bukti yang menyokong oleh pasukan pendakwa dalam kes-kes akan datang bagi mensabitkan individu tertentu yang dikatakan melakukan kesalahan pengubahan wang haram, kita tunggulah sahaja.

Sementara itu, selaras dengan kehendak rule of law, kita perlu menganggap seorang itu tidak bersalah sehinggalah kesalahannya dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah di mahkamah dalam satu prosiding terbuka.

Pada 19 September lalu, SPRM telah melakukan tangkapan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pada keesokannya beliau menghadapi 25 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadinya - iaitu empat pertuduhan di bawah seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan 21 pertuduhan di bawah seksyen 4 (1) (a) AMLA. Beliau mengaku tidak bersalah.

Ketika bercakap dengan wakil media di ruang legar kompleks mahkamah Jalan Duta, Najib berkata, segala pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya ini memberinya peluang untuk membersihkan namanya. “Saya bukan pencuri,” tegasnya. Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes. Perjalanan kes ini dijangka mengambil masa yang panjang.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.


http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kes-1mdb-uji-amla-1.755436#ixzz5SHRBRszW

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip