Guru nafi 48 tuduhan pecah amanah, palsu dokumen

SEORANG guru didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas 48 pertuduhan membabitkan pecah amanah dan pemalsuan dokumen Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin 2013 berjumlah RM11,550.

Tertuduh Mohamad Romzi Zahari, 46, yang juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Bagi 24 pertuduhan membabitkan pecah amanah, Mohamad Romzi didakwa sebagai Penolong Kanan HEM yang diamanahkan untuk menguruskan wang tunai berjumlah RM349,650 iaitu Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin 2013 sebuah sekolah rendah di Gerik melakukan pecah amanah jenayah.

Dia didakwa dengan curangnya mengambil wang antara RM450 hingga RM600 iaitu sebahagian daripada wang peruntukan terbabit yang sepatutnya diserahkan kepada 24 murid sekolah itu dengan jumlah keseluruhan RM11,550.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat sekolah berkenaan antara Julai hingga September 2013.

Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Mohamad Romzi turut didakwa atas 24 lagi pertuduhan iaitu memalsukan dokumen Borang Akuan Penerimaan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin 2013 membabitkan 24 murid yang sama.

Dia didakwa dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan menipu, dan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahidah Jalalluddin dan R Kumuthamba, manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Anuar Musa dan T Ellangovan.

Nurul Wahidah meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan iaitu jumlah keseleuruhan sebanyak RM48,000 sebelum Khairul Anuar memohon pengurangan jaminan berkenaan.

Dalam rayuannya, Khairul Anuar memberitahu anak guamnya yang berpendapatan RM5,000 tidak dapat menyediakan jumlah jaminan berkenaan kerana mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat anak yang masih belajar.

Indra Nehru kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM24,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/09/374236/guru-nafi-48-tuduhan-pecah-amanah-palsu-dokumen-metrotv

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip