Skip to main content

Teroka tanah haram rasuah terbesar di Cameron Highlands

IPOH 2 Julai – Rasuah paling banyak dan nilai sogokan terbesar ditawarkan oleh tauke-tauke ladang di Cameron Highlands untuk menutup mata pegawai penguat kuasa daripada mengambil tindakan terhadap mereka adalah bagi kesalahan penerokaan tanah haram.
Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R. Ramakrishnan berkata, jumlah sogokan bagaimanapun bergantung kepada kemampuan pengusaha ladang atau permintaan daripada penguat kuasa yang terlibat.
Katanya, manakala sogokan paling rendah melibatkan kesalahan kecil termasuk berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan permit kerja.
“Paling besar pun tanah yang dimiliki tauke-tauke ini di bawah lesen pendudukan sementara (LPS) adalah seluas 0.8 hektar seorang, tetapi mereka ini boleh meneroka tanah secara haram sehingga seluas 80.9 hektar untuk aktiviti pertanian.
“Bagi mengelakkan menanggung kerugian yang lebih besar sekiranya ditangkap, mereka akan memberi sogokan kepada penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ramakrishnan mendedahkan, kaedah pembayaran wang sogokan tidak hanya melibatkan wang tunai tetapi cara lain antaranya menyelesaikan pembayaran pengubahsuaian kenderaan pegawai penguat kuasa terlibat.
Katanya, oleh kerana bimbang kegiatan haram itu diketahui, kedua-dua pihak tersebut akan mengadakan pertemuan di luar Cameron Highlands bagi membuat pembayaran.
“Sekarang mereka (tauke) bukan hanya membayar tunai malah sehingga sanggup membayar bil tukar tayar penguat kuasa. Walau bagaimanapun kebanyakannya adalah bagi pengubahsuaian kereta.
“Kadar bayaran bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak sama ada dibayar bulanan atau bila perlu,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/teroka-tanah-haram-rasuah-terbesar-di-cameron-highlands-1.109981#sthash.AcYzBkdC.HTAv26kN.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip