Pahang, SPRM tubuh jawatankuasa bersama
KUANTAN 29 Julai – Kerajaan negeri bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama yang bertujuan menasihatkan kerajaan negeri supaya apa-apa prosedur yang dilaksanakan di Cameron Highlands mestilah telus.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, jawatankuasa tersebut akan memantau keadaan di Cameron Highlands dan menambah baik apa sahaja yang dilakukan di kawasan peranginan itu.
“Selain itu, kerajaan negeri dan SPRM akan menggariskan terma rujukan pasukan kerjasama ini selain mengeluarkan kenyataan media bersama dari semasa ke semasa.
“Tujuannya adalah untuk memberitahu rakyat mengenai komitmen kita dalam bersama-sama menutup ruang peluang rasuah, salah guna kuasa dan menangani isu-isu berbangkit,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Mingguan Malaysia pada 28 Jun lalu dalam laporan khasnya mendedahkan mengenai keadaan alam sekitar di Cameron Highlands yang ‘makin tenat’ akibat hakisan tanah berikutan pembangunan dan penerokaan tanah tidak terkawal.
Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya juga mengambil keputusan supaya tanah-tanah yang sesuai di Cameron Highlands diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada pekebun yang bekerja secara kecil-kecilan.
“Setakat ini, sebanyak 550 permohonan TOL telah diterima dan dalam pertimbangan pihak kami. Permohonan ini hanya untuk pekebun kecil-kecilan yang bekerja untuk menyara hidup keluarga mereka.
“Kita tidak boleh biarkan sindiket besar melakukan kerja-kerja haram ini. Proses pemutihan ini kita sedang jalankan dan sampai masanya kita akan buat pengumuman.
“Penduduk di Cameron Highlands yang bergantung hidup kepada kegiatan pertanian boleh teruskan kehidupan mereka,” katanya.
Sementara itu, kata Adnan, pihaknya membuat syor kepada SPRM untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri menyertai Mesyuarat Exco dan menduduki Lembaga Tawaran Tender.
“Namun SPRM memberi sebab munasabah supaya mereka tidak turut serta tetapi memberi pandangan dalam proses pemilihan kerja-kerja kontrak,” katanya.
Comments
Post a Comment