Penjara dua minggu, denda RM10,000 gara-gara rasuah
Kota Bharu: Pemandu bot penambang berusia 43 tahun dipenjara dua minggu dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu tadi selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM100 kepada anggota polis.
Hakim Adli Abd Ghalib memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh, Abd Rahman Zakaria ditangkap iaitu pada 27 Jun 2015.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan RM100 kepada anggota polis di Pengkalan Azizah, Rantau Panjang pada 7 pagi, 27 Jun 2015 sebagai dorongan untuk melepaskan warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah2009 dan dihukum mengikut seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimim 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Comments
Post a Comment