Penduduk puji ketegasan SPRM
CAMERON HIGHLANDS 2 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak lebih agresif dan bukan hanya menahan tauke ladang yang dipercayai memberikan rasuah, bahkan melibatkan juga pihak yang menerima suapan.
Seorang penduduk di Lembah Bertam, Cheng Nam Hong, 43, berkata, tindakan lebih profesional itu diperlukan bagi menangani masalah di Cameron Highlands yang bertambah buruk sejak 2008.
“Kita amat menyokong tindakan SPRM yang menahan tauke ladang yang dipercayai memberikan rasuah seperti yang tersiar di akhbar kerana setiap kesalahan perlu diambil tindakan.
“Apatah lagi penduduk di sini juga cuba mengelak daripada bercakap mengenainya kerana wujud tekanan politik supaya perkara ini tidak dijadikan sebagai satu isu,” katanya.
Selepas enam bulan melakukan intipan, SPRM kelmarin menggempur Cameron Highlands dan menahan 19 tauke ladang kerana disyaki memberikan rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa.
Sogokan itu bertujuan mengelakkan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti penerokaan tanah haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS), melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyimpan racun tidak berjadual.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Faizal Idris, 47, menyifatkan langkah yang diambil oleh SPRM itu adalah tepat bagi ‘mengajar’ mereka yang degil khususnya dalam hal membabitkan pencerobohan tanah.
Menurut beliau, tindakan tersebut sememangnya diambil berdasarkan realiti di kawasan tanah tinggi ini ekoran penguasaan pasaran oleh tauke-tauke besar.
“Kalau boleh, tindakan penguatkuasaan seperti ini bukan sahaja diteruskan di Cameron Highlands tetapi di seluruh negara,” katanya.
Mohamad Redzwan Mohamed Nor, 48, pula berkata, beliau amat bersetuju dengan ketegasan SPRM yang tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan kali ini.
“Saya rasa perkara ini sudah lama berlaku tapi selama ini, kita ambil sambil lewa. Jadi, kita mahukan perubahan dan musnahkan segala amalan rasuah sepenuhnya.
“Apabila isu ini melibatkan tanah, sememangnya orang akan menyangka wujud rasuah di situ,” katanya.
Bagi Faizal Che Abdullah, 42, tindakan penguatkuasaan mesti dijalankan secara konsisten bagi membendung penularan kepada permasalahan yang lebih besar.
“Kita tidak mahu orang menganggap pegawai penguat kuasa di negara ini hanya menjalankan tugas secara bermusim,” katanya.
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penduduk-puji-ketegasan-sprm-1.109975
Comments
Post a Comment