BUKAN SIAPA TAPI APA?
Kebelakangan ini hangat isu akaun
Perdana Menteri dimasukkan sejumlah wang yang agak besar dan didedahkan media
antarabangsa. Ini pastinya mengejutkan ramai pihak kerana dakwaan ini
benar-benar serius. Laporan seolah-olah menunjukkan PM kita tidak berintegriti,
terlibat dengan skandal wang dan penyelewengan wang rakyat!
Pelbagai pihak telah membuka mulut
mengenai isu ini termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka akan menyiasat perkara
ini selaku badan bebas dan telus. Perkara ini juga ada asas untuk mereka
menyiasat dalam akta mereka iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
Namun, bukan semua yang berpuas hati
dengan kenyataan tersebut di mana kepercayaan mereka seolah-olah mahu
mengatakan PM ikan jerung. Tidak mungkin dia akan disiasat dan akan dikenakan
hukuman sekiranya beliau bersalah.
Jawatan sebagai ketua Negara Malaysia
membuatkan semua ini Nampak mustahil. Namun harus diingatkan, SPRM tetap akan
menjalankan siasatan mereka tidak kira ikan bilis atau ikan jerung.
Frasa ini terlalu ramai yang
menggunakannya kerana mengganggap ikan jerung sentiasa terlepas daripada
jaringnya dan boleh mencari mangsa yang seterusnya. Walaubagaimanapun, bukan
selama-lamanya ia akan berenang dengan bebas. Setiap salah lakunya pasti akan
diadili kelak
.
Motifnya bukan siapa pelakunya tetapi
apa yang dia lakukan. Salah tetap salah. Jika benar ia menyalahi undang-undang,
maka ia tetap harus dihukum dengan adil dan diberikan balasan yang setimpal.
Begitu juga dengan mereka yang
mempersoalkan SPRM hanya mendakwa ikan bilis dan rakyat jelata. Adakah bermakna
jika ikan bilis itu melakukan kesalahan maka kita harus melepaskannya? ‘Oh, dia
rakyat biasa sahaja. Apalah sangat ambil rasuah RM100.’ Adakah itu
mentaliti kita? Sekecil-kecil mana pun ikan bilis, lama-lama ia akan membesar
jika ia dibiarkan. Mungkin pada masa itu, gejala tersebut
semakin sukar dibendung kerana ia tidak dibanteras dari mula.
Harapan rakyat juga amat besar kepada
agensi-agensi penguatkuasa yang terlibat termasuk SPRM, PDRM, BNM dan banyak
lagi dalam menyelesaikan kes ini. Besar maknanya jika kebenaran sebenar
dibongkarkan kepada rakyat untuk menunjukkan agensi penguatkuasa ini tidak pilih
kasih dalam menjalankan tugas mereka. Kepercayaan rakyat juga akan meningkat jika
hasil siasatan menunjukkan sesiapa yang bersalah harus dihukum tanpa mengira
darjat dan pangkat.
Kesimpulannya, kecil atau besar bukan
persoalannya kerana apa yang salah tetap salah. Semua harus dihukum jika
terbukti mereka melakukan rasuah atau salah laku. Bersama perangi rasuah tanpa
mengira darjat atau kedudukan. Perangi dari dasar sehingga ke puncak. Kita
boleh melakukannya.
Comments
Post a Comment