Rasuah wabak hina dalam masyarakat kita – Awang Azman Awang Pawi
Definisi umum tentang
rasuah ialah apa-apa kesalahan yang dilakukan dengan sengaja dalam bidang
kuasanya atau sengaja melalaikan tugas bagi memperoleh keuntungan
peribadi.
Ciri-ciri rasuah
sebagaimana dirumuskan oleh Syed Hussein Alatas (1968) termasuklah
pengkhianatan terhadap kepercayaan, penipuan terhadap badan kerajaan, swasta
atau masyarakat.
Individu yang terlibat
dengan rasuah juga mengetepikan kepentingan awam dan lebih mengutamakan
kepentingan atau faedah sendiri.
Lazimnya
rasuah dilakukan secara rahsia, melibatkan lebih daripada seorang atau satu
pihak.
Hasil rasuah bukan
sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam apa-apa bentuk perolehan
habuan atau ganjaran.
Inti pati perbuatan
rasuah ialah penipuan yang mengkhianati kepercayaan yang ada diberikan
oleh masyarakat, agensi mahu pun negeri atau negara.
Rasuah berlaku sejak
zaman berzaman. Sekiranya kita melihat kerajaan lama seperti Rom, China, India
didapati masalah ini merupakan pencetus kepada kejatuhan sesebuah
kerajaan.
Dalam kerajaan Yunani,
apa-apa rasuah ditolak dan dikutuk. Namun ini tidak bermakna tidak berlakunya
rasuah. Malah rasuah berlaku dalam zaman Yunani dalam pelbagai bentuk.
Hingga pada satu
tahap, jawatan diperniagakan, penyalahgunaan dana negara, penyogokan hakim dan
sebagainya.
Malah dicatatkan dalam
sejarah, jawatan seperti gabenor wilayah dianggap sebagai kaedah tercepat untuk
menjadi kaya-raya.
Pada satu tahap, orang
yang tidak berdosa dijatuhkan hukuman sesuka hati, malah dihukum bunuh.
Namun, terdapat ahli
keluarga dijatuhi hukuman mati, boleh mengambil kesempatan melakukan
rasuah dengan membayar sejumlah wang untuk melepaskan diri.
Jadi, dengan rasuah
ini, orang yang sepatutnya dihukum gantung digantikan dengan orang yang lain.
Pada zaman China kuno
sekitar 141SM, Ssu-ma Chi’ien pernah mencatatkan rasuah sangat berleluasa
akibat undang-undang yang longgar dan tidak dikuatkuasakan.
Orang yang menjadi
kaya-raya menggunakan kekayaan untuk mengumpul lebih banyak lagi harta
kekayaan. Sama ada daripada pihak pemerintah, pegawai tinggi, dan ahli keluarga
mereka berlumba-lumba hidup mewah tanpa batas.
Mereka dipengaruhi
oleh gaya hidup mewah dan mempunyai cita rasa tinggi terhadap kebendaan. Sikap
hormat terhadap undang-undang hanya dalam situasi tertentu.
Di kala rasuah golongan
pembesar berlaku secara besar-besaran. Perlakuan kes-kes jenayah seperti
kecurian kecil diberikan hukuman yang tegas dan zalim.
Jenayah kecil
digembar-gemburkan manakala rasuah dalam menyalahgunakan harta negara terus
berleluasa.
Sikap ini
membangkitkan kemarahan rakyat negara China kuno.
Pada era India kuno,
teks Arthashastra yang dihasilkan 2,400 tahun lalu pernah menceritakan Kautilya
iaitu, salah penasihat Kerajaan Maharaja Chandragupta Maurya yang pernah
menyatakan rasuah tidak dapat terhindar dan perlu dikawal.
Kautilya memberikan
sebuah analogi begitu juga sukar untuk menangkap aktiviti rasuah dalam
kerajaan umpama betapa sukar untuk menangkap burung yang terbang di langit.
Rasuah era moden
Menurut laporan Wall
Street Journal (1991), Kajian Jabatan Perdagangan pada 1988 mendapati korupsi
dalam industri gula mengenai harga dan kuota menyebabkan pengguna di Amerika
Syarikat terpaksa menanggung AS$3 ribu bilion setahun.
Senator yang menerima
sogokan dalam industri gula menyokong dasar kuota dan harga dalam industri gula
manakala yang tidak menerima sokongan akan menentang dasar tersebut.
Dalam urusan pembelian
senjata negara di Afrika Selatan yang bernilai AS$4.8 bilion pada 1999 dilandai
dengan dakwaan rasuah komisen dan sebagainya.
Urusan ini meliputi
pembelian peralatan pertahanan seperti kapal selam dan helikopter dan peralatan
berkaitan.
Hal ini memaksa
Presiden Zuma mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Seriti untuk melakukan
penyiasatan unsur-unsur tipu daya, rasuah, kepadanan berdasarkan undang-undang
negara.
Dianggarkan nilai
rasuah yang terlibat dalam urusan ini ialah sebanyak lebih AS$1 bilion.
Kejatuhan kepimpinan
negara
Rasuah membawa kepada
kejatuhan kepimpinan politik sesebuah negara.
Thaksin Shinawatra
pernah dituduh melakukan dua kes penipuan yang besar. Antaranya ialah terlibat
dalam pembelian peralatan yang tinggi bagi projek lapangan terbang baharu
Suvarnabhumi di Bangkok dan satu urus niaga tanah yang kontroversi
apabila membeli tanah di Jalan Ratchadaphisek daripada Tabung Pembangunan
Institusi Kewangan (FIDP).
Beliau tidak
sepatutnya terlibat dalam urusan ini kerana mendapat manfaat atau kerugian
melalui tindakannya.
Di Indonesia,
Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia pernah menerbitkan laporan
dan meletakkan nama mantan Presiden Indonesia, Suharto di tangga teratas dalam
senarai 10 pemimpin politik dunia yang rasuah.
Dikatakan Suharto
mencuri kekayaan negara bernilai antara AS$15 bilion dan AS$35 bilion sepanjang
pemerintahannya sebelum digulingkan rakyat pada 1998.
Namun, perbicaraan
tuduhan rasuah terhadap Suharto ditarik balik atas pertimbangan faktor
kesihatan.
Di Filipina pula
pernah terhasil sebuah kajian rakyat Filipina melihat Presiden Gloria Arroyo
sebagai presiden paling rasuah mengatasi bekas Presiden Ferdinand Marcos.
Hal ini amat
menghairankan kerana selama ini Marcos sering disinonimkan dengan rasuah dan
isterinya dikaitkan dengan gaya hidup mewah termasuk memiliki ribuan koleksi
kasut mewah.
Marcos dikatakan
menggelapkan dana kerajaan berjumlah AS$10 bilion (RM34 bilion) sepanjang 20
tahun pemerintahannya sebelum disingkirkan pada 1986.
Mantan Presiden
Filipina Gloria Macapagal Arroyo (2001-2010), 65 tahun dituduh bukan sahaja
dalam kes tuduhan penipuan pilihan raya tetapi juga tuduhan rasuah.
Beliau dituduh
melakukan salah guna dana loteri negeri dan rasuah melalui pembatalan
perjanjian jalur lebar negara dengan ZTE Corporation dari China yang bernilai
ratusan juta.
Kesemua ini bermakna,
walaupun sesetengah pemimpin ada yang dianggap diktator dan dipersepsikan
rasuah, namun ada lagi pemimpin selepas itu dianggap lebih rasuah daripada
pemimpin sedia ada sebelum ini. Inilah paradoks dalam dunia politik.
Berdasarkan
situasi ini ternyata, gejala rasuah tidak mengenal etnik, agama, dan
negara.
Punca rasuah ialah
ketamakan, gaya hidup mewah menjadi cita rasa hidup, kerapuhan integriti diri,
pegangan agama lemah dan tidak ada meletakkan nilai kejujuran dalam etika
pekerjaan yang diamanahkan oleh rakyat.
Faktor utama rasuah
ialah faktor kelemahan peribadi pelaku yang terlibat itu. Bagi kepimpinan yang
dituduh rasuah pula dianggap sebagai faktor kelemahan kepimpinan itu.
Namun, mengapakah di
sesetengah negara pemimpin tersebut masih diterima rakyat seperti di
Afrika?
Perhatikan sahaja
Zaire di bawah rejim Mobuti yang mempunyai kekayaan AS$9 bilion yang sanggup
menyewa kapal terbang untuk penerbangan dari negara ke Perancis untuk temu
janji dengan doktor giginya.
Apa pun, zaman pasti
berubah dan lambat-laun rakyat akan pasti menolak kepimpinan rasuah sedemikian
berdasarkan sejarah yang berlaku sepanjang zaman! – 4 Julai, 2015.
* Profesor Madya Dr
Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik di Universiti Malaysia Sarawak, Kota
Samarahan, Sarawak.
* Ini ialah pendapat
peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at:
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/rasuah-wabak-hina-dalam-masyarakat-kita-awang-azman-awang-pawi#sthash.jnQdjdGL.dpuf
Comments
Post a Comment