Skip to main content

Perangi rasuah satu ibadat

BANYAK pihak tidak menyedari usaha mencegah rasuah adalah satu bentuk ibadat berpanjangan dalam menentang kebatilan.

Rasulullah SAW memberi me­sej yang cukup jelas kepada umatnya iaitu setiap pelaku rasuah sama ada pemberi mahupun penerima akan menerima azab seksa yang amat pedih di neraka kerana dosanya yang cukup besar di sisi Allah SWT. Ibnu Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.”

Hadis Rasulullah itu menarik minat seorang mahasiswa perakaun­an dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 1977-1981 untuk menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Baginya, sebarang usaha untuk memastikan umat Islam tidak terjerumus ke lembah kehancuran di­sebabkan rasuah adalah satu bentuk ibadat yang pasti ada ganjaran di sisi Allah SWT sekiranya dilakukan dengan seikhlas hati.

Individu dimaksudkan itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Peng­urusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malay­sia (SPRM), Datuk Seri Zakaria­ Jaffar yang juga seorang akuntan bertauliah.

Selepas menabur bakti lebih 33 tahun, beliau akan menamatkan perkhid­­matannya dalam SPRM di usia 58 tahun pada 29 Julai ini.

Ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini, Zakaria berkata, sebaik sahaja menamatkan pengajian di UKM pada 1981, beliau terus memohon menyertai BPR meskipun mempunyai pilihan kerja yang lebih lumayan setaraf kelulusannya dalam bidang perakaunan.

“Jika hendak diikutkan saya boleh menerima gaji lebih lumayan jika bekerja di tempat lain sebagai akauntan bertauliah. Namun itu bukan keutamaan kerana apa yang lebih penting saya perlu memilih pekerjaan yang membolehkan saya beribadat sepanjang masa,” ujarnya.

Selepas berjaya dalam temuduga beliau diminta melapor diri di ibu pejabat BPR pada 2 Ogos 1982 sebagai pegawai penyiasat di cawangan ekonomi.

“Penempatan saya di cawangan ini mungkin ada kaitan dengan kelulusan saya. Di cawangan ekonomi, kes-kes yang disiasat berprofil tinggi dan amat sensitif,” katanya.

Zakaria berkata, sepanjang berada dalam cawangan itu beliau diberi peluang menyiasat beberapa kes besar antaranya skandal BMF di Hong Kong yang juga anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) ketika itu, di samping kes Perwaja Steel membabitkan tokoh korporat Tan Sri Eric Chia yang memakan masa lebih lapan tahun.

Zakaria turut berkongsi tentang tiga prinsip asas yang perlu ‘digenggam’ oleh semua pegawai penyiasat ketika menjalankan tugas iaitu;

  • Need to know basis yang ber­mak­sud hanya anggota dan pe­gawai terlibat yang tahu me­ngenai satu-satu kes malah ahli keluarga masing-masing pun tidak mengetahuinya. Tujuannya menjaga kerahsiaan kes yang disiasat.
  • Kill first explain later. Ungkapan ini bermaksud pegawai pe­nyi­a­­sat akan berusaha mendapatkan dokumen atau bukti dengan apa cara sekalipun tanpa perlu beri penjelasan untuk tujuan siasatan tetapi perlu dilakukan tanpa melanggar undang-undang.
  • First light enter pula bermaksud tangkapan dibuat terhadap suspek sebaik sahaja dia baru bangun tidur di waktu pagi. Pada waktu ini kebiasaannya suspek tidak bertindak agresif ketika ditangkap.

“Ketiga-tiga prinsip ini menjadi panduan kepada pegawai penyiasat kita ketika menjalankan siasatan terhadap satu-satu kes sehingga kes berkenaan dibawa ke mahkamah,” katanya lagi.

Berbalik kepada penglibatannya dalam beberapa kes utama Zakaria berkata, antara yang cukup memberi kesan kepadanya satu kes pecah amanah melibatkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).

Setelah mengumpulkan semua bahan bukti beliau mengarahkan sebuah pasukan diketuai oleh seorang pegawai penyiasat ke rumah CEO itu kira-kira pukul 4 pagi untuk mela­kukan tangkapan sesuai dengan prinsip first light enter.

Bagaimanapun, dalam kes tersebut kata Zakaria, tiada tangkapan dibuat sehingga menyebabkan beliau amat marah kepada pasukan tersebut.

“Namun demikian apa yang menghairankan saya pegawai penyiasat pula tiba-tiba yang menangis. Dia kata suspek akan datang ke pejabat pukul 8 pagi ini untuk serah diri.
“Selepas suspek menyerah diri, barulah pegawai penyiasat saya ini bercerita. Katanya semasa tangkapan mahu dibuat, lampu yang mula-mula dibuka adalah di ruang tamu dan bukannya di bilik tidur,” ujarnya.

Selepas lampu dibuka kata Zakaria, pasukan itu menyerbu ke dalam rumah tersebut dan apa yang menyentap perasaan pasukan tersebut, mereka melihat di sisi CEO itu anak-anaknya yang sedang lena tidur di samping seorang nenek.

“Anak yang paling kecil menangis mahukan susu. Pada ketika itu barulah pasukan itu diberitahu bahawa isteri CEO itu baru meninggal dunia dua minggu lalu kerana menghidap barah payu dara manakala nenek itu ibu mertuanya,” ujarnya.

Zakaria melihat kes itu dalam pelbagai sudut antaranya balasan dunia yang mungkin diterima akibat melakukan rasuah. Akhirnya selepas melalui perbicaraan CEO itu dibebaskan.

Kes lain yang turut terkesan di hati Zakaria melibatkan suspek yang akhirnya berubah menjadi insan lebih baik.

“Satu kes berlaku di Sarawak iaitu semasa saya bertugas di sana. Satu hari saya telah mengarahkan satu tangkapan dibuat terhadap seorang pegawai kanan kerajaan dalam bidang media.

“Pegawai penyiasat yang terlibat dalam kes tersebut seorang Iban dan tangkapan dibuat ketika pegawai berkenaan mengadakan kendu­ri untuk ke Mekah. Pegawai yang ditahan ini benar-benar aib. Beliau akhirnya dibenarkan ke Mekah untuk tunaikan haji.

“Beliau kemudian dibicarakan dan dibebaskan. Saya bertemu de­ngan pegawai berkenaan di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan dan di saat saya bertemu dengannya beliau benar-benar menghambakan diri untuk mencari ilmu akhirat sehingga meninggal dunia,” katanya lagi.
Inilah antara kes yang memberi kesan kepada Zakaria. Walaupun kesnya kecil tetapi pengajarannya begitu banyak.

Dalam pada itu beliau mengakui kegiatan rasuah di negara ini masih berlaku tetapi dikategorikan sebagai masih terkawal.

Meskipun begitu ujar beliau, usaha untuk membendungnya perlu dilakukan bersungguh-sungguh supaya tiada lagi berlaku pencerobohan tanah secara haram seperti yang terjadi di Cameron Highlands dan beberapa kes lain yang dibongkar oleh pihak media.

“Kita pun dalam proses membuka sebuah pejabat tetap di Ca­meron Highlands. Selepas diluluskan kelak kita akan menempatkan beberapa anggota dan pegawai SPRM di kawasan tanah tinggi itu bagi memantau kes-kes pencerobohan tanah di sana,” katanya lagi.

Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila tahap keyakinan rak­yat terhadap keupayaan SPRM menjalankan tugas-tugas pencegah­an rasuah semakin me­ningkat dari setahun ke setahun.

Berdasarkan kajian, beliau ber­kata, berbanding tahap keyakinan orang ramai terhadap SPRM pada 2009 cuma 30 peratus, kemudiannya meningkat 39 peratus (2010); 42 peratus (2011); 54 peratus (2012); 65 peratus (2014) dan tahun ini dijangka mencecah 70 peratus.

“Secara umumnya rakyat semakin percaya kepada kewibawaan SPRM dalam menjalankan kerja-kerja membendung, mencegah dan menyiasat segala kegiatan ber­kaitan rasuah.

“Kita akan balas kepercayaan ini dengan memberikan komitmen menghapuskan kegiatan rasuah yang boleh dianggap salah satu musuh utama negara,” ujar bapa kepada 11 anak ini.

Pada masa sama katanya, 27 juta rakyat Malaysia perlu bersama-sama SPRM memerangi perbuatan jijik rasuah itu supaya kegiatan tersebut akhirnya dapat diben­dung sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan baik dalam senarai laporan CPI.

Meskipun bakal bersara, beliau tetap komited dengan perjuangannya untuk memerangi rasuah dan sedia menerima jemputan daripada mana-mana pihak khususnya pihak media untuk bercakap mengenai gejala tersebut dan kesannya kepada masyarakat dan negara. 

Tidak boleh disangkal sayang dan kasih Zakaria kepada SPRM tidak berbelah-bahagi.

“Darah yang mengalir dalam tubuh saya ini hanya tertulis dua perkataan sahaja iaitu BPR dan SPRM,” katanya mengakhiri sesi temu bual ini.

Selamat bersara Datuk Seri!

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/perangi-rasuah-satu-ibadat-1.115282#sthash.nUwxq16V.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip