Promosi Malaysia hab latihan antirasuah
KEMUNGKINAN besar tulisan ini karya saya yang terakhir sebelum berundur dari perkhidmatan awam selepas berkhidmat lebih tiga dekad (bersama Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau singkatannya SPRM). Saya akan bercuti sempena persaraan mulai awal Ogos ini.
Akhir tahun lalu, saya berpeluang ke Bhutan untuk mengambil bahagian dalam program kerjasama latihan agensi penguat kuasa negara itu dan SPRM. Bhutan memperlihatkan kebanggaan pihaknya kerana berpeluang berkongsi pengalaman dengan Malaysia.
Negara Asia Selatan yang terletak di hujung pergunungan Himalaya itu sebenarnya berada dalam kedudukan lebih tinggi dari segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berbanding Malaysia.
Saya pun hairan. Negara yang tinggi ranking dalam CPI, tetapi berminat mempelajari pengalaman Malaysia dari segi pembinaan kapasiti dan keupayaan mencegah rasuah.
Sepatutnya kita belajar daripada mereka. Bukan sebaliknya.
Ketika itu, jawapan yang diberikan pemimpin Bhutan: Mereka gembira kerana Malaysia jujur dan ikhlas dalam berkongsi ilmu dan pengalaman dengan negara itu.
Perkara sama ditekankan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bhutan, Zeten Zangmo ketika berada di Putrajaya sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan SPRM pada 11 Mac lalu.
“Bhutan memilih Malaysia kerana negara ini mengamalkan keterbukaan dan komited dalam perkongsian pengalaman. Malaysia (dan SPRM) mempunyai pengalaman yang luas dalam membendung jenayah rasuah di peringkat antarabangsa serta rantau Asia. Malaysia juga telah mengintegrasikan dan menginstitusikan pendekatan antirasuah yang telah dijadikan contoh di peringkat dunia,” kata Zeten.
Saya terharu dengan kata-kata ini. Bagi saya dan SPRM, ini satu penghargaan dan penghormatan buat Malaysia. Sumbangan Malaysia diiktiraf oleh pihak luar. Perakuan ini harus menjadi satu kebanggaan buat rakyat Malaysia sementara kita bekerja keras untuk memerangi rasuah.
Di SPRM, peranan melatih pegawai terletak di bahu Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang tahun ini berusia satu dekad.
MACA menyediakan latihan secara konsisten kepada pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bhutan sejak 2011 berkaitan siasatan dan perisikan. Pada 2013, MACA mendapat pengiktirafan Pejabat PBB Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC). Dalam laporan penilaian berkenaan pematuhan Malaysia, khususnya SPRM ke atas Konvensyen PBB Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC), UNODC mengiktiraf peranan MACA sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa.
MACA mengambil pelbagai pendekatan untuk menjadi pusat serantau bagi usaha-usaha memerangi dan mencegah rasuah.
Pelbagai institusi dan pertubuhan antarabangsa menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menyediakan tenaga pengajar, pakar untuk merangka dan mengendalikan kursus, latihan, seminar dan bengkel setiap tahun, terutamanya di rantau Asia Pasifik dalam pembanterasan jenayah rasuah. Ini boleh dilaksanakan melalui hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan agensi-agensi penguat kuasa serantau seperti ICAC Hong Kong, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Badan Pencegah Rasuah Brunei Darussalam, Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Korea Selatan, Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional Thailand.
Dengan adanya pelbagai program yang dirancang, diharapkan MACA akan muncul sebagai pusat pembelajaran dan latihan terpenting di rantau Asia. Penubuhan MACA ini juga adalah sebagai tanggungjawab untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme pegawai-pegawai SPRM, melalui penyediaan kursus dalam perkhidmatan untuk modul penyiasatan, pendakwaan, perisikan, pendidikan masyarakat, pemeriksaan dan perundingan, tatacara kerja, pengurusan dan kewangan, keselamatan, kepimpinan, latihan kejurulatihan, teknologi maklumat serta pengajian bahasa terutama bahasa Inggeris.
Visi MACA menjadi pusat kecemerlangan pencegahan rasuah bertaraf serantau dan antarabangsa. Kumpulan sasarannya pegawai SPRM, jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, dan peserta dari negara.
Sejak penubuhannya MACA berusaha gigih memberikan latihan berkaitan penguatkuasaan antirasuah yang signifikan dan efektif di peringkat nasional dan global. Kejayaan MACA menganjurkan pelbagai program latihan melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi antarabangsa membuatkannya semakin diiktiraf sebagai peneraju pusat latihan antirasuah yang mapan.
Demi mencapai objektif membanteras jenayah rasuah, MACA, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Akademi Antirasuah Antarabangsa dan Interpol telah berganding bahu menganjurkan seminar-seminar teknikal di Malaysia.
MACA ditubuhkan sebelum SPRM lahir sebagai sebuah suruhanjaya bebas pada 2009. Susulan kewujudan SPRM dan selari dengan program transformasi, peranan MACA bertambah giat dan luas. Tanggungjawab akademi meningkat bagi membolehkan SPRM memiliki barisan modal insan yang mahir dan berpengetahuan luas.
Dalam hal ini, Pusat Latihan Asas (PLA) bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan program latihan untuk pembangunan kerjaya pegawai dan kakitangan sokongan dengan tumpuan utamanya menjalankan kursus asas kepada pegawai-pegawai lantikan baru SPRM. PLA adalah nadi kepada SPRM untuk melatih pegawai-pegawai baru.
Di sebalik peranan itu, dalam era globalisasi, usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan menjadi semakin rumit. Kemajuan teknologi, kepesatan pembangunan, nilai kemanusiaan yang terhakis antara cabaran yang menyukarkan lagi inisiatif pencegahan jenayah rasuah.
Justeru SPRM menjadi tonggak penting dalam membantu memperkasa integriti yang dizahirkan melalui peranan latihan yang dimainkan Pusat Pembangunan Integriti Korporat, MACA.
Penyertaan pegawai penguat kuasa dari luar negara dalam Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), kendalian SPRM menyaksikan peningkatan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas mekanisme kawalan dalaman. Peningkatan itu ada kaitan dengan impak dan kesan positif yang disumbangkan oleh Program CeIO kepada agensi swasta dan awam.
Ketika Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) Ke-10 di ibu negara awal Disember 2014, SPRM telah menawarkan untuk menjadikan MACA sebagai hab latihan serantau bagi memperkukuhkan keupayaan dan kapasiti pencegahan rasuah.
Putrajaya menjadi lokasi Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 pada September ini. Diharap pengalaman dan kejayaan seperti ini akan dikongsi, bukan sahaja bagi manfaat Malaysia, bahkan demi masyarakat antarabangsa.
Berdasarkan pengalaman peribadi saya sebagai pegawai antirasuah selama lebih tiga dekad, Malaysia mempunyai amalan baik dan kejayaan untuk dikongsi bersama negara lain. Begitulah sebaliknya.
PENULIS ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM.
Comments
Post a Comment