Pertukaran Dua Pegawai SPRM Ke JPM Dibatalkan

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa membatalkan pertukaran dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Ali mengumumkan dalam kenyataan pada Isnin bahawa dua pegawai itu - Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob - kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa hari ini.

Ali berkata beliau dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah berjumpa dengan dua pegawai SPRM yang terlibat dalam perpindahan itu.

Katanya kedua-dua pegawai tersebut telah memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka mengeluarkan kenyataan media.

"Susulan dengan penjelasan tersebut, saya telah membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai ke JPM dan kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa hari ini," katanya.

Jumaat lepas, kedua-dua pegawai itu dilaporkan ditukarkan ke JPM dan diarah melaporkan diri pada hari ini.

SPRM dalam reaksinya menyambut baik keputusan pembatalan pertukaran dua pegawai tersebut serta berpandangan ia satu tindakan yang baik dan sangat wajar.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali dalam kenyataan hari ini berkata SPRM berterima kasih kepada Ali dan Mohamad Zabidi serta semua pihak yang terlibat dalam hal berkenaan.

"SPRM akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009 dan Aspirasi SPRM," katanya.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip