Inspektor didakwa terima rasuah lindungi pembalakan di Kapit

SIBU: Seorang pegawai polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebagai dorongan melindungi kegiatan pembalakan haram di Sungai Sut di Kapit pada tahun lalu. 

Insp Mohamad Nazri Daheri, 36, dari Jabatan Siasatan Jenayah Kapit didakwa menerima suapan berjumlah RM16,000 antara Ogos dan Oktober daripada seorang lelaki dikenali sebagai Stephen Kon. 

Tertuduh yang tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu. 

Dia didakwa menerima suapan RM3,000 pada 2.40 petang, 24 Ogos di sebuah restoran di Kapit; RM5,000 pada 11.58 pagi, 11 September melalui akaun bank milik Fitero Rafiee di sebuah bank di Tabuan Jaya, Kuching; dan RM8,000 pada 10.25 pagi, 20 Oktober di sebuah hotel di Sibu. 

Mohamad Nazri didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September sebagai tarikh sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Katherine Nais manakala tertuduh diwakili peguam Louis Jarau. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/74053

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip