BUAT KEPUTUSAN BIAR BERHEMAH- SAIFULIZAM MOHAMAD
Jumaat lalu, dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob telah diarah berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta-merta.
Perpindahan mereka itu dikatakan ada kaitannya dengan isu siasatan SPRM terhadap SRC International Sdn. Bhd. dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terutama kelantangan Bahri yang ternyata kurang senang dengan tindakan polis menahan dan menyoal siasat anggota Bahagian Operasi Khas (BOK) berhubung satu kes kebocoran maklumat.
Begitu juga dengan Rohaizad yang sehari sebelum ditukarkan itu telah menerima rombongan pemimpin-pemimpin pembangkang ke ibu pejabat agensi tersebut di Putrajaya sebagai tanda sokongan mereka terhadap tindakan SPRM.
Sama ada pertukaran mereka itu dilakukan secara kebetulan, arahan khusus mahu pun dengan alasan perpindahan biasa, tindakan itu sebenarnya telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat ekoran siasatan terhadap SRC International dan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih berjalan.
Perlu diakui bahawa berita pertukaran dua pegawai kanan SPRM itu sedikit-sebanyak telah menjejaskan nama baik kerajaan dan ini berlaku disebabkan tindakan yang diambil itu dilihat secara tergesa-gesa, tidak berhemah dan kurang cermat.
Apatah lagi dengan gerakan agresif media-media sosial khususnya portal-portal berita yang mempersoalkan tindakan kerajaan menukarkan dua pegawai kanan SPRM itu ketika proses siasatan oleh SPRM terhadap dua isu berkenaan belum lagi selesai.
Hakikatnya, rata-rata orang kebanyakan serta pemimpin di pelbagai peringkat termasuk dalam UMNO sendiri terutama Pergerakan Pemudanya ternyata ‘tidak selesa’ dengan perkembangan yang berlaku itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengulas isu tersebut telah memberi mesej yang cukup jelas bahawa SPRM akan runtuh sekiranya badan penguat kuasa itu terus diganggu oleh pihak luar yang dilihat mempunyai kepentingan tertentu.
Kata Khairy lagi, tindakan memindahkan pegawai-pegawai yang sedang menjalankan siasatan hanya akan merosakkan SPRM serta memberi gambaran seolah-olah ada agenda tertentu untuk menakut-nakutkan institusi berkenaan.
Kata-kata Khairy itu kemudian disambut oleh pemimpin-pemimpin lain dalam pergerakan tersebut yang turut satu suara dengannya. Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menegaskan bahawa kerajaan terpaksa berdepan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan rakyat yang semakin berkurangan berikutan tindakan memindahkan dua pegawai kanan SPRM itu.
Bahkan Khairul Azwan memberi peringatan sekiranya tidak dibendung krisis tersebut akan membawa kesan negatif kepada kerajaan termasuk kemungkinan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum akan datang.
Begitu juga dengan kenyataan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar yang jelas tidak mahu SPRM diheret ke dalam kancah krisis politik semasa kerana pegawai-pegawai agensi tersebut hanya menjalankan tanggungjawab tanpa mengganggu mana-mana pihak.
Dalam satu kenyataan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Sabtu lalu, Tan Sri Johan Jaaffar terkejut dengan tindakan memindahkan dua pegawai kanan SPRM tersebut.
Sehubungan itu dalam kenyataan yang sama, Johan berkata, PPPR menuntut Bahri dan Rohaizad dikembalikan semula ke SPRM serta-merta bagi membolehkan mereka meneruskan tugas masing-masing di agensi berkenaan.
Inilah realiti yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan rentetan daripada keputusan menukarkan Bahri dan Rohaizad ke JPM. Tidak dinafikan, pihak kerajaan sudah tentu mempunya alasan yang kukuh untuk memindahkan mereka ke JPM tetapi keputusan itu dilihat ‘tidak kena’ pada masa dan tempatnya memandangkan proses siasatan berhubung kait dengan isu 1MDB belum lagi tamat.
Tindakan tersebut juga disifatkan sebagai kurang cermat kerana dua pegawai terbabit khususnya Bahri merupakan Ketua BOK SPRM iaitu bahagian di SPRM yang terlibat secara langsung dalam siasatan berkenaan.
Oleh itu, apabila berlaku pertukaran tersebut sudah tentu pelbagai andaian dan persoalan bermain di minda rakyat dan paling dikhuatirkan orang ramai tidak lagi percaya kepada kerajaan seolah-olah ada sesuatu fakta yang mahu disembunyikan.
Dalam era gelombang persepsi yang berlaku ketika ini, sebarang tindakan seperti itu perlu dielakkan dan jawapan konkrit perlu dijawab serta-merta sekiranya kerajaan tetap mahu mempertahankan tindakan itu.
Kerajaan terpaksa menerima hakikat tersebut walaupun ada pemimpin bertaraf menteri ketika menjawab soalan pemberita mengenai isu berkenaan berkata, pertukaran itu merupakan prosedur biasa dalam kalangan kakitangan awam dan tidak akan menjejaskan siasatan yang dilakukan oleh SPRM.
Soalnya sekarang, adakah jawapan selamat seperti itu boleh diterima bulat-bulat oleh rakyat lebih-lebih lagi ketika mereka mudah percaya dengan persepsi yang datang daripada pelbagai sumber antaranya media sosial?
Apa pun, keputusan kerajaan membatalkan perpindahan Bahri dan Rohaizad ke JPM dengan mengembalikan semula jawatan asal mereka di SPRM berkuat kuasa serta-merta amatlah dialu-alukan.
Keputusan itu telah dimaklumkan dalam satu kenyataan akhbar Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa semalam (10 Ogos 2015) selepas mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pegawai kanan SPRM itu.
Penulis yakin keputusan itu dibuat mengikut pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira pelbagai aspek. Cuma apa yang perlu diberikan perhatian, setiap keputusan selepas ini terutama bersifat ‘sensitif dan kontroversi’ seperti isu pertukaran dua pegawai kanan SPRM itu perlu dibuat dengan cermat, berhati-hati dan berhemah supaya tidak berlaku krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Itu penting kerana tempoh pemerintahan BN hanya sekitar dua ke dua tahun setengah lagi dari sekarang dan seharusnya masa berbaki ini diberikan tumpuan kepada usaha memperkukuhkan BN dan meletakkan BN pada kedudukan lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.
Comments
Post a Comment