Kepercayaan kepada SPRM kembali
Khairy Jamaluddin menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim yang menjadi sebahagian daripada tetamu istimewa dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. utusan/WAHIDAH ZAINAL
KUALA LUMPUR 10 Ogos – Pelbagai pihak menganggap pembatalan perpindahan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dapat mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap kredibiliti pihak berkuasa itu serta meredakan spekulasi yang timbul sebelum ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, SPRM akan mendapat kembali kebebasan dan kuasa yang ada untuk melakukan penyiasatan terhadap pelbagai isu termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun tegasnya, kebebasan itu bukan bermaksud SPRM tidak boleh diganggu sebaliknya polis masih mempunyai kuasa melakukan siasatan sekiranya ada aduan diterima asalkan tidak mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan SPRM terhadap isu-isu penting.
“Saya nak jelaskan di sini bahawa tiada sesiapa kata agensi penguat kuasa kebal daripada undang-undang, polis boleh siasat sesiapa sahaja, isunya adalah pertukaran pegawai yang seolah-olah membantutkan usaha mereka untuk laksanakan siasatan dengan bebas.
“Isu ini menjadi isu awam sebab orang ramai termasuk saya melihat ada usaha untuk menyerang institusi penting ini, tetapi sekiranya sudah dikembalikan dua pegawai SPRM, saya rasa itu adalah keputusan yang bijak,” katanya dalam sidang akhbar semasa menghadiri Majlis Aidilfitri anjuran kementerian di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hari ini membatalkan perpindahan Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob ke JPM selepas menerima penjelasan daripada kedua-dua pegawai itu berkaitan isu berbangkit.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, pegawai-pegawai SPRM perlu sentiasa diberi sokongan untuk menyiapkan setiap tugasan atau siasatan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
“Paling utama adalah kebebasan kepada institusi seperti SPRM sentiasa terjaga dan diperbaiki manakala masalah pegawainya diselesaikan secara dalaman mengikut peraturan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Johan Jaaffar berkata, keputusan tersebut tepat pada masanya dan sesuatu yang signifikan ke arah menangani isu persepsi bahawa pegawai SPRM telah diintimidasi dalam menjalankan tugas mereka.
Menurut beliau, langkah positif itu berupaya mengembalikan keyakinan rakyat bahawa SPRM dan pegawai-pegawainya akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa halangan.
“Mereka boleh memenuhi tugas dan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional seperti yang dikehendaki oleh Akta SPRM 2009,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, keputusan tersebut diharap dapat memulihkan moral pegawai-pegawai berkenaan dan ahli keluarga mereka yang pasti terjejas berikutan arahan perpindahan itu yang dibuat minggu lalu.
Tambahnya, jika merujuk kepada skim perkhidmatan SPRM, perpindahan itu sepatutnya tidak berlaku sejak awal-awal lagi kerana bercanggah dalam beberapa klausa yang ditetapkan.
“Saya berpendapat ada yang tidak kena bila perpindahan itu dibuat kalau melihat kepada skim perkhidmatan SPRM iaitu sistem pelantikan dan tatatertib serta perlakuan.
“Bagaimanapun, saya berharap pegawai-pegawai yang balik itu dapat meneruskan kerja mencari kebenaran, melakukan siasatan telus dan tegakkan apa yang salah atau betul, ini adalah perkara paling utama kerana masyarakat sangat mempercayai institusi ini,” jelas beliau.
Comments
Post a Comment