Panel Perundingan SPRM Yakin Peranan JKNMPP
KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) langkah yang penting dan tepat pada masa.
Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Johan Jaaffar berkata, pihaknya mengalu-alukan dan menyokong langkah tegas untuk memantau dana politik tersebut.
“Tindakan untuk mengawal selia pembiayaan politik melalui pembaharuan dan undang-undang yang diperlukan adalah satu langkah yang penting dan tepat pada masanya.
“Ketelusan dalam pembiayaan politik adalah kunci untuk membasmi rasuah politik. Orang ramai sentiasa menuntut ketelusan dalam bidang ini kerana wujud persepsi mengenai cara parti politik dan kempen pilihan raya dibiayai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Johan berkata, pihaknya bagaimanapun berharap komposisi JKNMPP selain wakil-wakil dari pertubuhan masyarakat dan individu ternama harus turut menyertakan pemimpin semua parti dalam negara.
Najib semalam mengumumkan penubuhan JKNMPP bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.
Menurut Najib, dalam tempoh setahun, jawatankuasa itu akan menyediakan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sehubungan itu, Najib berharap pihak pembangkang menerima cadangan tersebut yang diyakini mampu meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada ahli parti-parti politik, malah rakyat dan generasi akan datang.
Parti pembangkang sebelum ini pernah menentang cadangan sumber dana setiap parti politik diisytiharkan kepada SPRM.
Sebagai contoh, parti DAP membantah cadangan itu dengan alasan ia parti sara diri dan bimbang peraturan baharu itu bakal merugikan parti terbabit.
Namun, terdapat dakwaan ada parti pembangkang dalam negara menerima derma politik dari entiti luar negara yang mempunyai agenda tidak baik terhadap Malaysia sebagai negara Islam. – mynewshub.cc
http://mynewshub.cc/2015/08/15/panel-perundingan-sprm-yakin-peranan-jknmpp/#gs.37fac50b27084666ac54b629a702d6b0
Comments
Post a Comment