MASYARAKAT ANTARABANGSA MELIHAT SPRM SEBAGAI AGENSI PENCEGAHAN RASUAH CONTOH
Masyarakat dunia kini telah mula melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah agensi yang perlu dicontohi dalam usaha menangani isu-isu rasuah di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Haji Mustafar Ali berkata, keyakinan itu wujud setelah masyarakat dunia mula melihat keberkesanan amalan-amalan baik yang dikongsi oleh SPRM dengan negara lain termasuk menerusi kemudahan latihan yang disediakan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
“Terbukti pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa Ke-16 (IACC) kali ini, amalan-amalan baik yang diperkenalkan oleh SPRM telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa serta institusi yang hadir.
“Rata-rata yang ditemui semasa perbicangan memberi reaksi menyatakan SPRM sebagai organisasi yang perlu dicontohi,” kata beliau selepas menghadiri sesi bengkel bertajuk “Fighting Corruption By Authorities: What Worked and What Went Wrong” (Memerangi Rasuah Oleh Pihak Berkuasa: Apa Yang Berjaya dan Apa Yang Tersasar) pada IACC Ke-16 di Putrajaya, hari ini.
Persidangan tiga hari ini, yang disertai oleh lebih 1,000 perwakilan, akan berakhir esok, 4 September 2015. Aspirasi SPRM juga meletakkan sasaran untuk menjadikan SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah terunggul di dunia.
Turut menjadi ahli panel sesi ini ialah bekas Timbalan Pesuruhjaya Agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa Hong Kong (ICAC) Daniel Li Ming Chak; Pengarah Biro Pencegahan Rasuah Brunei, Dato Paduka Muhammad Juanda A. Rashid dan Pengasas Bersama Transperancy International (TI) Michael Hershman. Datuk Seri Azman Ujang, ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), badan bebas memantau SPRM, bertindak sebagai moderator.
Pada sesi tersebut, Datuk Mustafar turut berkongsi 23 amalan baik dan kejayaan Malaysia dan SPRM, yang mendapat pengiktirafan Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) susulan pematuhan Malaysia ke atas Konvensyen Pencegahan Rasuah PBB (UNCAC), antaranya kewujudan peranan Panel Penilaian Operasi (PPO), salah satu daripada lima badan bebas yang memantau SPRM. Ia turut mengiktiraf MACA sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, Datuk Mustafar memberitahu, keyakinan dan sokongan masyarakat terhadap SPRM ketika ini sangat tinggi. “Bagaimanapun untuk mencapai keyakinan masyarakat kepada 70 peratus tahun ini adalah bergantung kepada respons daripada masyarakat juga,” ujarnya.
SPRM yang ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai sebuah suruhanjaya bebas telah melaksanakan program transformasi secara menyeluruh, merangkumi bidang operasi, modal insan dan pencegahan. Program transformasi ini antara lain telah membolehkan jumlah kes yang dapat diselesaikan pada tahun yang sama meningkat kepada 85 peratus tahun lalu manakala kadar sabitan pula telah mencecah 78 peratus tahun lalu.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 SEPTEMBER 2015
Comments
Post a Comment