IACC KE-16: BRUNEI AKUI KERJASAMA DUA HALA DENGAN SPRM BANTU TANGANI RASUAH RENTASI SEMPADAN


KERJASAMA dua hala antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Mencegah Rasuah Brunei yang sedia terjalin sejak lebih satu dekad yang lalu disifatkan sebagai gabungan terbaik yang telah menyumbang kepada keberkesanan dan kejayaan usaha memerangi jenayah rasuah merentasi sempadan.

Pengarah Biro Mencegah Rasuah Brunei, Datuk Paduka Muhammad Juanda A Rashid berkata, usaha sama kedua-dua negara secara keseluruhannya dapat disaksikan dalam banyak kes sepanjang 12 tahun yang lalu.
Katanya, antara sumbangan yang signifikan adalah kejayaan mematahkan sindiket penyeludupan petrol di sempadan Brunei-Malaysia, yang melibatkan 40 pegawai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei.

Tambah beliau, ia merupakan satu kejayaan yang turut mendapat pengiktirafan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), yang menilai pematuhan Malaysia dan SPRM ke atas Konvensyen Pencegahan Rasuah PBB (UNCAC).

“Brunei telah menandatangani kerjasama bilateral bersama Malaysia pada tahun 2002 untuk berkongsi maklumat dan menghulurkan bantuan selain mempelajari amalan terbaik melibatkan strategi pencegahan rasuah.

“Operasi bersama antara Malaysia-Brunei merupakan contoh terbaik yang menggambarkan bagaimana kerjasama penguatkuasaan undang-undang melibatkan negara dari segi polisi dan operasi dapat dipertingkatkan merentasi sempadan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sesi bengkel bertajuk “Fighting Corruption By Authorities: What Worked and What Went Wrong” (Memerangi Rasuah Oleh Pihak Berkuasa: Apa Yang Berjaya dan Apa Yang Tersasar) pada IACC Ke-16 di Putrajaya, hari ini.

Persidangan tiga hari ini, yang disertai oleh lebih 1,000 perwakilan, akan berakhir esok, 4 September 2015.

Tambah beliau, Biro Mencegah Rasuah Brunei juga mempelajari pendekatan pengurusan siasatan secara berpasukan yang merupakan kaedah efektif digunakan oleh SPRM bagi mempercepatkan penyelesaian sesuatu kes rasuah.

Selain itu, kerjasama bilateral serta perjumpaan tahunan menjadi platform terbaik bagi kedua-dua negara dalam berkongsi maklumat berguna mengenai inisiatif pencegahan rasuah serta pengalaman berkaitan kejayaan dan kegagalan sesebuah kes siasatan.

Turut menjadi ahli panel sesi ini ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali; bekas Timbalan Pesuruhjaya Agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa Hong Kong (ICAC) Daniel Li Ming Chak dan Pengasas Bersama Transperancy International (TI) Michael Hershman. Datuk Seri Azman Ujang, ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), badan bebas memantau SPRM, bertindak sebagai moderator.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 SEPTEMBER 2015

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip