IACC Ke-16: SPRM Terima Kunjungan Hormat Tiga Negara
SEMPENA Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menerima kunjungan hormat delegasi dari tiga buah negara bagi tujuan menjalin kerjasama dalam bidang pencegahan rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali mengadakan pertemuan dengan delegasi berkenaan secara berasingan pagi ini.
Pada sesi pertemuan pertama bersama Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Timor Leste, Dr Aserito Tilman, Datuk Mustafar diberitahu bahawa badan antirasuah negara itu mahu kerjasama dengan SPRM dieratkan bagi mempertingkatkan perkongsian kepakaran bersama, agar usaha membasmi rasuah di negara itu dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
Pakatan Pencegahan Rasuah Armenia (Armenian Anti-Corruption Coalition), sebuah pertubuhan bukan kerajaan dari negara itu, yang diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya Artak Saribekyan, dalam pertemuannya bersama Datuk Mustafar mengakui bahawa SPRM boleh membantu mereka untuk memerangi rasuah di negara mereka berdasarkan pengalaman SPRM.
Pertemuan dua hala pada hari kedua IACC Kali Ke-16 ini diakhiri dengan perbincangan bersama Badan Antirasuah Senegal, yang diwakili oleh Presidennya Nafy Ngom Keita, yang juga bekas Peguam Negara Senegal.
Dalam pertemuan itu, Nafy berkata, negaranya mahu mempelajari dari SPRM mengenai prosedur penyiasatan, latihan dan lain-lain perkara yang berkaitan. Ini kerana badan Antirasuah mereka baru sahaja ditubuhkan.
Susulan ketiga-tiga pertemuan itu, Datuk Mustafar berkata SPRM bersedia berkongsi kepakaran dengan wakil dari negara-negara berkenaan, dengan menawarkan latihan untuk pegawai mereka di Akademi Antirasuah Malaysia (MACA).
"Kunjungan hormat ini menunjukkan kesediaan negara luar untuk belajar dari SPRM. SPRM bersedia untuk berkongsi dengan negara-negara yang menunjukkan minat," kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran IACC Kali Ke-16 di PICC. IACC Kali Ke-16 akan berakhir esok.
Ketiga-tiga pertemuan ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah dan Ketua Pusat Pengajian Antarabangsa MACA, Abdul Razak Hamzah.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 SEPTEMBER 2015
Comments
Post a Comment