SPRM Memeterai MoU Dengan Timor Leste dan Maldives
Bagi pihak SPRM, kedua-dua MoU ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Hj Mustafar Ali.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Timor Leste diwakili oleh Pesuruhjayanya, Aderito Antonio Pinto Tilman manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Maldives pula diwakili oleh Pesuruhjayanya, Sofwath Mohamed.
Majlis menandatangani MoU disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan. Turut hadir menyaksikan majlis hari ini ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Maldives ke Malaysia, Mohamed Fahmee Hassan dan Duta Besar Timor Leste ke Malaysia, Jose Amorium Dias.
Majlis menandatangani MoU diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya di mana sedang berlangsungnya Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke16.
MoU ini melibatkan kerjasama dalam tujuh bidang:
1. Kerjasama dalam menyediakan kursus kemahiran profesional antirasuah, pertukaran kepakaran dan memberi nasihat berkenaan pembangunan modal insan;
2. Pertukaran maklumat dan kepakaran dalam mencegah dan membasmi rasuah;
3. Pertukaran pengalaman dalam mengenal pasti perbuatan rasuah dan kaedah-kaedah yang digunakan oleh pihak yang melakukan rasuah;
4. Menganjur dan menyertai forum, bengkel, seminar, konvensyen dan persidanganpersidangan pencegahan rasuah;
5. Pertukaran maklumat berkaitan pendidikan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran berkenaan antirasuah melalui media, kempen mempromosikan integriti serta meningkatkan penglibatan masyarakat dalam mencegah dan membasmi gejala rasuah;
6. Kerjasama dalam membekalkan bantuan teknikal dalam aktiviti-aktiviti operasi; dan
7. Bidang kerjasama lain yang bersesuaian.
Dengan dua MoU hari ini, setakat ini SPRM telah menandatangani MoU dengan 14 pihak yang terdiri daripada pertubuhan dan agensi antirasuah.
Pada pandangan SPRM, kerjasama di peringkat antarabangsa ini penting bagi memperkukuhkan keupayaan operasi SPRM serta mendapatkan keyakinan masyarakat antarabangsa.
Pada sidang media kemudian, Datuk Mustafar berkata, langkah menandatangani MoU ini merupakan satu platform formal untuk memperkukuh hubungan yang telah terjalin sekian lama antara kedua-dua negara.
“Pada kali ini, fokus asas MoU lebih tertumpu pada aspek operasi, pencegahan dan pendidikan melibatkan hubungan dua hala,” katanya.
Kata beliau, setiap kerjasama yang wujud adalah berlandaskan kepada tiga aspek utama iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan pengukuhan supaya ia dapat memberi impak besar dan menyeluruh.
Katanya, antara pencapaian hasil MoU yang telah dilaksanakan oleh SPRM sejak tahun tiga tahun yang lalu menerusi 14 MoU (Lampiran 1) termasuklah:
- - MoU SPRM-BMR Brunei telah membolehkan penganjuran Mesyuarat Kumpulan Kerjasama (WG) antara kedua-dua pihak bagi meningkatkan jalinan kerjasama dalam bidang operasi dan menyelaraskan bantuan kerjasama.
- - MoU antara SPRM bersama CPIB Singapura telah membolehkan mesyuarat tahunan dua hala untuk berkongsi maklumat dan pertukaran kepakaran.
- - MoU antara SPRM bersama Polis Antarabangsa (INTERPOL) membolehkan penempatan pegawai-pegawai SPRM di Lyon selama dua tahun setiap pegawai bermula Mei 2012. Ia membantu ke arah memperoleh pengalaman praktikal secara langsung.
- - MoU antara SPRM bersama Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) membantu meningkatkan penglibatan pegawai SPRM dalam Program Sarjana di IACA.
- - MoU antara SPRM bersama Vietnam bertujuan melaksanakan Pematuhan ke atas UNCAC.
- - MoU antara SPRM dan Badan Pencegahan Rasuah Mesir membolehkan kerjasama dua hala bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pertukaran kepakaran.
- - MoU bersama ahli SEA-PAC bertujuan berkongsi maklumat dan pertukaran kepakaran antara ahli-ahli SEA-PAC.
Jalinan kerjasama ini juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang antara lain menyenaraikan 23 amalan baik dan kejayaan Malaysia dan SPRM dalam melaksanakan program pencegahan rasuah. Pengiktirafan ini disenaraikan dalam laporan UNODC pada tahun 2013.
SPRM juga berpandangan bahawa kesediaan negara luar menandatangani MoU kerjasama menunjukkan kepercayaan pihak luar ke atas SPRM dalam memperluaskan kerjasama dalam bidang membanteras rasuah.
Dalam pada itu, Sofwath berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh SPRM dan berharap hubungan sebelum ini dipertingkatkan dengan adanya perjanjian berkenaan.
“Dalam latihan yang dikendalikan oleh SPRM di Maldives tahun lalu, pelbagai kepakaran telah disalurkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Maldives,” ujarnya.
Tilman pula berkata, MoU dengan SPRM akan memberi fokus ke atas usaha memperkasakan sektor sumber manusia, pertukaran kepakaran, pengendalian latihan profesional dan perkongsian maklumat dalam aspek pencegahan rasuah.
“Hubungan yang produktif antara kedua-dua pihak sebelum ini telah memberi peluang kepada beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Timor Leste menjalani latihan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dalam aspek perisikan, pencegahan rasuah serta pengurusan risiko dalam sektor awam,” katanya.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 SEPTEMBER 2015
Comments
Post a Comment