Kejayaan Kad Skor India Bagi Wakil Rakyat Sudah Terbukti

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Penggunaan sistem kad skor untuk menilai prestasi wakil-wakil rakyat di India kini sudah menampakkan hasil yang positif.

Pengasas bersama National Campaign for Peoples' Right to Information (NCPRI) Anjali Bhardwaj berkata sistem itu telah terbukti sebagai kaedah berkesan dalam memerangi rasuah kerana orang ramai kini mempunyai akses terus kepada prestasi wakil rakyat mereka, yang tertera pada kad skor masing-masing.

"(Dengan adanya kad skor tersebut) wakil-wakil rakyat akan bersikap lebih bertanggungjawab dan telus. Sebarang dana yang diperuntukkan kepada mereka tidak disalahgunakan ... mereka menggunakan wang tersebut dengan bijak dan membelanjakannya mengikut keutamaan," katanya ketika ditemui Bernama di luar sesi Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 yang berlangsung selama tiga hari di sini, baru-baru ini.

Ditanya sama ada pendekatan yang sama boleh digunakan di Malaysia, Anjali berkata walaupun negara ini mungkin sudah mempunyai kaedah-kaedah tertentu dalam usaha mencegah rasuah, ia masih boleh mencontohi sistem kad skor itu.

"India memutuskan untuk memperkenalkan sistem kad skor untuk wakil-wakil rakyatnya berikutan tekanan daripada rakyat.

"Apabila wakil rakyat tahu bahawa prestasi mereka akan menjadi perhatian umum, mereka akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab apabila membelanjakan wang (yang diperuntukkan kepada mereka)," kata beliau.

KUASA RAKYAT

Sementara itu, Presiden dan pengasas bersama 5th Pillar, Vijay Anand berkata tindakan tanpa kekerasan adalah cara yang paling berkesan untuk membanteras gejala rasuah walaupun ia mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk memperlihatkan keberkesanannya.

(5th Pillar adalah sebuah pertubuhan tanpa keuntungan yang bertujuan menggalakkan, membolehkan dan memberi kuasa kepada warganegara India untuk menghapuskan rasuah di segenap lapisan masyarakat.)

Beliau percaya bahawa sebarang langkah keganasan untuk mencegah rasuah, umpamanya demonstrasi jalanan, hanya akan mendatang kemudaratan kepada negara.

"Apa jua senjata kita gunakan, mereka (musuh) juga akan menggunakan senjata yang sama. Jika anda membaling batu, anda juga akan mendapat batu, jika anda melemparkan bunga, maka anda akan menerima bunga yang sama," katanya.

Pengarang buku 'Curtailing Corruption: People Power For Accountability and Justice' Shaazka Beyerle berkata rakyat bukan sahaja perlu bersatu dalam memerangi rasuah tetapi juga hendaklah mempunyai objektif dan pelan tindakan yang jelas.

"Kuasa sebenar rakyat boleh direalisasikan apabila rakyat (sesebuah negara) menggerakkan sumber-sumber mereka. Ia boleh membawa kepada perubahan dalam jangka masa panjang jika dilakukan secara konsisten. Perubahan besar tidak boleh dilakukan dalam jangka masa pendek," katanya.

AKTA PEMBERI MAKLUMAT

Anjali memberitahu IACC bahawa India juga mempunyai Akta Pemberi Maklumat yang diluluskan dua tahun lalu untuk menggalakkan orang ramai melaporkan sebarang perbuatan dan amalan rasuah kepada pihak berkuasa.

Menurut beliau, sebelum undang-undang itu digubal, orang ramai agak keberatan untuk tampil melaporkan sebarang salah laku kerana sejak sembilan tahun sebelum itu, kira-kira 40 peratus daripada mereka yang mencari maklumat mengenai perbelanjaan wakil rakyat, ditemui dibunuh.

"Kemudian, kami mendapat tahu bahawa kira-kira 70 peratus daripada peruntukan mereka (wakil rakyat) dibelanjakan untuk projek-projek pembinaan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat. Rakyat, terutamanya golongan miskin, amat memerlukan kemudahan asas seperti bekalan air. Mereka (rakyat) tidak mahu mengundi mana-mana pihak atau individu yang menyalahgunakan kuasa."

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Malaysia diwartakan pada tahun 2010. Pada Julai tahun lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali dilaporkan berkata bahawa SPRM menerima hampir 5,000 aduan, yang mempunyai asas untuk siasatan pada setiap tahun.

Menurut Anjali, setiap rakyat India kini mempunyai potensi menjadi pemberi maklumat, sedangkan sebelum ini hanya mereka yang bekerja untuk kerajaan sahaja akan melaporkan sebarang salah laku.

"Kini sesiapa sahaja boleh dimasukkan ke dalam permohonan 'Right to Information' (Hak Memperoleh Maklumat) dan mendapat akses kepada maklumat kerajaan. Mereka juga boleh memfailkan aduan terhadap mana-mana individu yang terlibat rasuah.

"Akta Pemberi Maklumat melindungi pengadu daripada menjadi mangsa dan sasaran kepada pesalah rasuah yang dilaporkannya," jelas beliau.

RASUAH MENAFIKAN KEPERLUAN UTAMA GOLONGAN MISKIN

Menyentuh mengenai kesan budaya rasuah boleh menafikan pelbagai keperluan utama golongan miskin seperti beras dan air, Anjali berkata di Delhi, masyarakat miskin ditindas bukan sahaja oleh ahli-ahli politik malah golongan peniaga.

Di India, kad-kad catuan dikeluarkan kepada keluarga yang hidup di atas dan di bawah garis kemiskinan untuk membeli barangan keperluan daripada peniaga tertentu dengan harga subsidi.

"(Sebelum ini), pemegang kad catuan perlu menunggu masa yang lama untuk mendapatkan barangan keperluan mereka dan ada kalanya para peniaga akan memberitahu bahawa mereka belum menerima barangan subsidi (bekalan) tersebut daripada kerajaan.

"Pada masa ini, kami boleh meminta Jabatan Makan dan Pengedaran Awam India supaya memberikan rekod peniaga-peniaga berkenaan, di mana kami boleh mengetahui sama ada mereka sudah menerima bekalan barangan subsidi tersebut. Namun masih terdapat beberapa peniaga yang tidak bertanggungjawab bertindak menjual barangan bersubsidi kepada bukan pemegang kad catuan pada harga yang lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip