SPRM HARGAI SUMBANGAN KEVIN MORAIS, ABADI NAMA MENDIANG
TRAGEDI yang menimpa mendiang Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Anthony Kevin Morais merupakan satu lagi dugaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Walau bagaimanapun, kejadian yang penuh tragis ini tidak melunturkan atau mematahkan semangat pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan kes rasuah membabitkan seorang doktor hospital tentera, yang polis percaya ada kaitan dengan kematian mendiang. Susulan ketiadaan mendiang, urusan pendakwaan kes yang dimaksudkan akan dikendalikan oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya kanan yang kini berkhidmat di SPRM.
Dedikasi dan komitmen mendiang akan menjadi semangat kepada pegawai-pegawai SPRM untuk meneruskan misi SPRM, khususnya dalam kes rasuah membabitkan doktor hospital tentera kendalian beliau.
Seluruh warga kerja SPRM menyanjung dedikasi tinggi yang telah diperlihatkan oleh mendiang selama berkhidmat dengan SPRM.
Bagi menghargai sumbangan mendiang, Ketua Pesuruhjaya dan Pengurusan Tertinggi SPRM telah memutuskan untuk mengabadikan nama beliau di mana Moot Court di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur akan dikenali sebagai Moot Court Kevin Morais. Satu majlis khas mengenang sumbangan beliau akan diadakan sempena sambutan hari kelahiran ke-48 BPR/SPRM pada 1 Oktober 2015.
Moot Court MACA dikendalikan oleh Kluster Perundangan dan Pendakwaan dalam menyediakan program latihan berkaitan dengan perundangan dan pendakwaan kepada pegawai-pegawai SPRM yang mengikuti latihan asas siasatan dan perundangan.
DATO' SRI MOHD SHUKRI ABDULL
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
Comments
Post a Comment