JKMR Saran Batalkan Debat Isu Tanah Taman Manggis

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menyarankan supaya dibatalkan debat mengenai isu tanah Taman Manggis di Pulau Pinang antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pengerusi JKMR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata sebagai badan yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihaknya mengikuti dengan terperinci mengenai rancangan mengadakan debat itu dan berharap pihak terbabit menimbang untuk membatalkannya.

"Saya menyarankan rancangan itu elok dielakkan. JKMR berpandangan bahawa memandangkan SPRM sedang menjalankan siasatan, sangatlah wajar supaya penganjuran perdebatan tersebut dibatalkan.

"JKMR bimbang sekiranya debat tersebut diteruskan, ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM sekarang," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Abu Zahar berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.

"Semua pihak yang terlibat, saya sarankan supaya memberi kerjasama yang sewajarnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

"Jika mana-mana pihak mempunyai fakta, dokumen-dokumen atau sebarang bukti dan saksi berkaitan isu tanah Taman Manggis, wajarlah mengemukakan kepada SPRM daripada mengadakan debat secara terbuka," katanya.

Sebelum ini, Barisan Nasional mendakwa kerajaan Pulau Pinang DAP pimpinan Lim telah menjual tanah Taman Manggis yang diperuntukkan bagi membina rumah mampu milik.

-- BERNAMA


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip