Siasatan banglo Guan Eng akan terjawab hujung April

PETALING JAYA: Kertas siasatan kes terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa terlibat dalam kontroversi pembelian banglo pada harga luar biasa murah dijangka siap dalam tempoh tiga minggu lagi.

Menurut laporan Utusan Malaysia, memetik sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Guan Eng untuk merekodkan keterangan pada minggu hadapan.

Katanya lagi, urusan itu akan dilakukan di Pulau Pinang selepas kesemua dokumen termasuk transaksi melibatkan pembelian itu dikumpul serta diteliti sedalam-dalamnya.

“SPRM tidak mahu memanggil Guan Eng berulang kali, biar SPRM dapat semua dokumen secara hitam putih dan keterangan akan direkodkan berdasarkan bukti serta keterangan saksi-saksi yang dipanggil sebelum ini,” tambah sumber apabila ditanya sebab kelewatan merekod kenyataan Guan Eng.

Difahamkan juga, SPRM boleh menahan kedua-dua pihak jika mendapati wujud sebarang transaksi rasmi lain melibatkan kedua-dua pihak.

“Apapun, segala persoalan akan terjawab selewat-lewatnya hujung bulan ini,” lapor akhbar itu lagi.

Pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya yang kini berada di Pulau Pinang dipercayai sedang melakukan siasatan tersebut dengan dipantau oleh pegawai tertinggi SPRM.

Guan Eng juga dikatakan bekerjasama dengan SPRM dengan menyerahkan beberapa dokumen yang ada kaitan dengan pembelian aset tersebut kepada SPRM.

Bagaimanapun proses siasatan tidak didedahkan oleh sumber kerana tidak mahu sebarang gangguan wujud sepanjang prosedur tersebut.

Isu banglo di Jalan Pinhorn, Jelutong, Pulau Pinang, milik Guan Eng menjadi perhatian selepas dikatakan dibeli pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran semasa hartanah itu boleh mencecah RM5 juta.

Pemilik banglo pula dikaitkan dengan individu sebuah syarikat yang berjaya membeli tan­ah di Taman Manggis, Pulau Pinang.

Tanah di Taman Manggis yang sepatutnya digunakan untuk projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) tetapi dibeli oleh pemaju untuk membangunkan hospital swasta dan hotel.

Pembelian tanah itu juga menimbulkan banyak persoalan selepas kerajaan negeri didapati menjualnya pada harga RM11 juta kepada pemaju sedangkan tawaran lain menetapkan harga pada kira-kira RM20 juta.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip