Program CeIO Bantu SPRM Tangani Ketirisan Dalam Organisasi

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) berjaya membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani ketirisan dalam organisasi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah berkata kejayaan itu juga secara tidak langsung dapat mengelakkan penyelewengan dan rasuah.

"Program CeIO ini berjaya dan bagus dilaksanakan di Malaysia. Alhamdulillah, setelah program ini dilaksanakan, dapat membantu SPRM menangani ketirisan dalam organisasi," katanya kepada pemberita selepas menutup program CeIO bagi siri ke-12 dan ke-13 tahun ini di sini, hari ini.

Mohd Jamidan berharap CeIO yang dilantik perlu meningkatkan integriti bagi memerangi rasuah di dalam agensi atau jabatan masing-masing, selain memiliki integriti yang tinggi memandangkan mereka mempunyai peranan yang besar untuk memantau serta memantapkan lagi amalan integriti di jabatan dan agensi masing-masing.

"Selain merancang dan melaksanakan program integriti, mereka (CeIO) juga perlu memainkan peranan mengesan pelanggaran tata kelakuan individu mahupun etika organisasi.

"Mereka juga perlu memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil sama ada memberi surat layang atau terus melaporkan salah laku jenayah kepada agensi berkaitan," katanya.

Mohd Jamidan berkata sejak program CeIO yang dikendalikan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) itu diperkenalkan beberapa tahun lalu, seramai 544 CeIO telah dilantik termasuk sembilan dari luar negara termasuk Brunei dan Singapura.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip