Pertukaran Pegawai Jawatan Sensitif Mininumkan Peluang Jenayah Rasuah - SPRM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Pendekatan menukar pegawai di jabatan atau jawatan sensitif jika dilaksanakan secara menyeluruh dan efektif akan membantu usaha menutup atau meminimumkan ruang dan peluang jenayah rasuah, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Merujuk laporan mengenai pertukaran 50 pegawai jawatan sensitif di pelbagai kementerian, SPRM yang menyambut baik pendekatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan itu akan mempertingkatkan tadbir urus baik dan mengelak daripada berlakunya ketirisan.

Menurut SPRM, penggiliran tempat kerja dan pertukaran pegawai ke bahagian lain dalam agensi asal atau agensi lain adalah antara syor yang diberikan suruhanjaya itu menerusi perakuan Kertas Pemeriksaan SPRM apabila menyediakan khidmat pemeriksaan dan perundingan bagi memperbaiki sistem dan prosedur kerja.

"Pelaksanaan sistem giliran tempat kerja akan membantu mengurangkan peluang terdedah kepada jenayah rasuah atau salah guna kuasa," katanya.

SPRM berkata ia telah membincangkan syor pelaksanaan sistem giliran tempat kerja bersama agensi-agensi penguatkuasa pada tahun lepas.

SPRM berkata ia akan membincangkan bersama Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara lanjut untuk menguatkuasakan syor berkenaan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa baru-baru ini mengumumkan 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian akan ditukarkan secara dalaman di agensi masing-masing atau ke kementerian lain mulai bulan ini.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip