SPRM, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar Anjur Bengkel Tangani Rasuah Alam Sekitar

AKADEMI Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah mengadakan bengkel menangani rasuah dalam jenayah alam sekitar di bawah tajaan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), semalam.
Antara perkara penting yang dibentangkan dalam bengkel berkenaan ialah cara menyelesai, mencegah dan mendakwa kes-kes berhubung jenayah alam sekitar menggunakan teknik antirasuah.
Pegawai UNODC (Penyelaras Global untuk Membanteras Jenayah Hidupan Liar dan Perhutanan), Giovanni Broussard berkata, Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk menangani isu rasuah dengan mewujudkan Unit Integriti di semua kementerian termasuk NRE.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi pemain utama dalam memerangi jenayah alam sekitar.
Broussard juga berkata, perlu wujud kerjasama padu di antara agensi-agensi kerajaan khususnya NRE, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi menangani isu ini daripada terus berleluasa.
“Satu strategi yang sistematik amat penting dalam membendung isu ini supaya pesalah laku tidak kira dari agensi kerajaaan atau pihak luar takut untuk terlibat dalam jenayah ini,” ujar beliau selepas menyelaras bengkel tersebut.
Selain itu, beliau juga meminta agensi-agensi penguat kuasa dan kerajaan supaya tidak memandang remeh isu jenayah alam sekitar dan sumber asli.
Menerusi bengkel ini, beliau berharap semua perbincangan dan pandangan yang dikongsi akan dipraktikkan sebagai satu sistem pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, bagi menangani isu ini, amat penting bagi pegawai-pegawai yang terlibat untuk menghadiri kursus-kursus yang berhubung kait di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, dalam menangani rasuah di sektor alam sekitar, beberapa proses  perlu dilihat khususnya mengenal pasti punca-punca, mengambil tindakan, pencegahan, penyiasatan, pendakwaan dan hukuman.

Beliau juga menekankan bahawa secara umumnya orang ramai tidak mempunyai pengetahuan mengenai undang-undang alam sekitar.

“Kesan buruk jenayah alam sekitar tidak dapat dilihat oleh orang ramai sehingga berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini dan perlakuan rasuah,” ujar beliau.

Lebih 30 pegawai dari pelbagai jabatan di bawah NRE, PDRM, SPRM, KDRM dan UNODC telah mengambil bahagian dalam bengkel ini.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip