Skip to main content

Integriti membanteras Rasuah

Kisah rasuah di sebuah jabatan kerajaan di Sabah yang dilaporkan oleh media pada awal bulan ini amat mengejutkan rakyat Malaysia. Masakan tidak, di kala rakyat terpaksa mengharungi kehidupan yang serba mahal dengan kos sara hidup yang meningkat tinggi pada masa kini, masih ada pihak yang tergamak melakukan jenayah rasuah melibatkan wang rakyat!
Apa yang berlaku di sini, dari sudut perakaunan forensik sudah nyata terdapat kes jenayah penyelewengan. Cuma, pihak berkuasa hanya memerlukan bukti kukuh untuk membawa penyangak durjana sebenar ke muka pengadilan! Wang tunai berpuluh-puluh juta Ringgit Malaysia daripada aktiviti rasuah disimpan di pejabat dan di rumah.
Ini belum termasuk 127 geran tanah, barang kemas, beg dan kereta berjenama mewah yang hanya boleh dibeli oleh mereka yang bergelar jutawan sahaja! Bahkan, dikatakan masih ada wang disimpan di luar negara.
Adakah rasuah di Malaysia sudah menjadi epidemik? Hal ini berlaku kerana hampir setiap hari jenayah rasuah dilaporkan di media massa. Bukan setakat golongan bawahan yang melakukan rasuah kerana desakan hidup tetapi mereka yang berjawatan tinggi yang sewajarnya tidak mengalami masalah kewangan juga terlibat dengan jenayah rasuah.
Wang yang sebegitu banyak dijumpai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga memakan masa 15 jam untuk mengiranya bukan setakat boleh digunakan untuk diri sendiri, bahkan lebih daripada cukup untuk menyara tujuh keturunan! Sesungguhnya SPRM telah menjalankan tugas yang cukup mantap! Syabas dan tahniah buat SPRM yang menjumpai semula wang rakyat Malaysia!
Kisah rasuah terbesar sejak penubuhan SPRM ini telah membangkitkan kemarahan rakyat. Dilaporkan bahawa mereka yang terlibat dengan rasuah tersebut membahagi-bahagikan projek kepada kaum kerabat mereka sahaja. Jadi, yang kaya raya anak-beranak dan sanak saudara mereka sehingga mampu memiliki harta luar biasa.
Wang peruntukkan kerajaan daripada wang rakyat yang sewajarnya diagih-agihkan secara saksama untuk kontraktor-kontraktor yang berkelayakan hanya dikuasai oleh segelintir kaum keluarga sahaja! Betapa tamaknya manusia sehingga tidak memikirkan nasib orang lain.
Lebih teruk lagi, ketamakan ini ditunjukkan kepada masyarakat tanpa rasa malu dan segan betapa perbuatan terkutuk dilakukan mereka benar-benar memudarat masyarakat dan negara. Dikatakan bahawa kisah rasuah sebegini boleh memberi kesan negatif terhadap mata wang RM. Ini akan melemahkan keyakinan pelabur.
Harus diingatkan pelabur amat menitikberatkan keyakinan. Tanpa keyakinan pelabur dan ahli perniagaan, ekonomi negara boleh terjejas teruk. Inilah yang paling dibimbangi. Kesan rantaiannya bukan setakat mendakwa penyangak yang terlibat tetapi boleh memberi kesan yang berpanjangan. Hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Pemantauan
Walhal, yang melakukannya hanya melibatkan beberapa orang sahaja, tetapi majoriti rakyat Malaysia menolak jenayah rasuah! Malah, rata-rata kakitangan awam seramai 1.6 juta orang pun menolak rasuah. Jika tidak, mana mungkin negara kita dikategorikan sebagai negara kompetitif tanpa adanya kakitangan awam yang cekap.
Cuma dalam hal rasuah ini, tadbir urus berteraskan integriti adalah jalan terbaik untuk membanteras jenayah rasuah sebelum ia benar-benar menjadi epidemik. Ketika itu, sukar lagi untuk membanteras jenayah ini kerana sudah menjadi barah yang tidak boleh lagi diubati.
Tadbir urus yang berteraskan integriti ini perlu melibatkan semua pihak dalam jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bukan hanya laungan kepada pihak bawahan sahaja tetapi juga sehingga ke peringkat tertinggi. Lantiklah mereka yang benar-benar terbukti berintegriti memegang kuasa di sesebuah jabatan kerajaan dan GLC. Cekap, pintar dan pakar sahaja tidak mencukupi jika tiada integriti.
Lebih baik melantik seorang yang benar-benar berintegriti tetapi kurang pakar berbanding seorang yang pakar tetapi langsung tidak berintegriti. Sesebuah organisasi tidak akan rosak jika sumber manusia yang bekerja dalam organisasi tersebut bekerja sepenuh hati membudaya amalan berintegriti.
Di sini, peranan SPRM dan Jabatan Audit Negara cukup penting. Maka, apabila ada syor agar kedua-dua pihak ini perlu dilibatkan dalam projek mega bernilai RM500 juta ke atas, ini satu tindakan pencegahan agar tidak sewenang-wenangnya mereka yang diberikan kuasa melakukan penyelewengan. Malah, syor agar projek mega bernilai sebanyak ini perlu memiliki jawatankuasa pemandu adalah satu lagi cadangan yang wajar dilaksanakan segera.
Jika boleh, nilai RM500 juta ini diturunkan kepada nilai yang lebih rendah, misalnya RM100 juta ke atas. Ini bagi membolehkan pemantauan dapat dilaksanakan untuk projek yang bernilai jutaan ringgit dan tidak hanya tertakluk pada nilai yang menghampiri bilion ringgit. Sayugia diingatkan setiap sen wang rakyat cukup berharga, inikan pula ratusan juta ringgit.
Di samping melibatkan pemantauan sebegini, tadbir urus integriti juga perlu melibatkan kuasa yang lebih luas buat juruaudit dalaman bagi setiap jabatan kerajaan dan GLC. Juruaudit dalaman perlu diberikan kebebasan tanpa adanya campur tangan pihak pengurusan tertinggi agar kes-kes rasuah dibawa ke muka pengadilan.
Dengan ini, juruaudit dalaman akan lebih berani mengemukakan bukti kepada pihak SPRM. Cuma, untuk memberikan kebebasan kepada juruaudit dalaman, perbincangan terperinci perlu dilakukan terutamanya melibatkan kenaikan pangkat dan gaji yang dibayar kepada mereka agar tidak terikat dengan pihak pengurusan tertinggi.
Jika isu-isu ini dapat diselesaikan sehingga boleh meningkatkan kebebasan juruaudit dalaman, maka kesan positif akan lebih kelihatan apabila juruaudit dalaman akan sedaya upaya membanteras sebarang penyelewengan dan bukan setakat pembaziran yang berlaku dalam jabatan kerajaan mahupun GLC. Pada masa yang sama, SPRM boleh meletakkan orang-orangnya sebagai “perisik” untuk setiap jabatan kerajaan dan GLC, selain daripada pelaksanaan ikrar integriti korporat dan melantik Ketua Pegawai Integriti (CIO) dalam organisasi tersebut.
Tidak cukup dengan itu, kawalan dalaman bagi setiap jabatan kerajaan dan GLC perlu diperkasakan. Dalam hal ini, tidak hanya setakat kawalan dalaman yang tertera atas kertas sahaja tetapi lebih jauh daripada itu melaksanakan setiap kawalan dalaman yang diperkenalkan.
Sudah tentulah penambahbaikan kawalan dalaman dari semasa ke semasa perlu dilakukan agar setiap inci ruang yang boleh membuka “lubang” rasuah dan penyelewengan ditutup rapat sama sekali. Misalnya, tiada pelantikan sanak saudara dalam kalangan ahli lembaga pengarah (ALP) GLC. Hal ini kerana pelantikan sanak saudara bagi ALP akan menyebabkan pakatan penyelewengan dalam kalangan mereka.
Kerajaan juga boleh mengambil tindakan drastik dengan mengambil tindakan kepada jabatan berkenaan jika terbukti gejala rasuah berleluasa. Misalnya, mengurangkan peruntukan untuk jabatan berkenaan, manakala jabatan kerajaan yang terbukti sifar rasuah dan penyelewengan diberikan anugerah agar budaya sifar rasuah dapat diamalkan dalam kalangan jabatan-jabatan kerajaan dan GLC.
Apa yang penting, tadbir urus integriti untuk membanteras rasuah ini sewajarnya dilakukan secara istiqamah agar rakyat kita dikenali sebagai rakyat berintegriti tinggi yang menghuni sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Sewajarnya isu rasuah ini diberikan keutamaan tertinggi oleh semua pihak terutamanya menjelang pembentangan Bajet 2017 pada hari Jumaat ini. Rakyat mahukan setiap sen wang belanjawan negara dibelanjakan secara penuh amanah dan berintegriti agar rakyat keseluruhan dapat menikmati manfaat demi kesejahteraan mereka.
Jika tidak, sebagaimana kata-kata rakan saya, “penat sahaja setiap tahun Bajet Tahunan Malaysia dirangka dengan begitu rapi untuk kesejahteraan rakyat tetapi akhirnya mereka yang diamanahkan untuk menjaga dan mengurus wang rakyat itu sendiri yang songlap wang tersebut tanpa rasa malu dan bersalah hanya untuk meraih kekayaan buat diri sendiri dan keluarga!”
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip