SPRM: Saring bakal calon jawatan penting dalam kerajaan
KUALA LUMPUR - Individu yang bakal dilantik ke jawatan penting dalam agensi kerajaan termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran menjalani saringan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Professional) SPRM, Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah berkata, tujuan utama adalah untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan dan ketirisan dalam sesebuah organisasi tersebut.
“Berdasarkan pengalaman saya, jabatan kerajaan, GLC dan syarikat yang mempunyai saham kerajaan antara agensi yang paling berisiko berlakunya rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada media selepas Seminar Integriti dalam Perkhidmatan Awam dan
Majlis Penutup Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 16 dan 17, di sini, semalam.
Menurutnya, langkah itu juga dapat memastikan hanya individu yang layak berkhidmat dalam kerajaan.
“Kita tidak mahu dana kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat diselewengkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Ia bukan sahaja perlu saringan SPRM, malah polis, dan juga Jabatan Insolvensi bagi memastikan calon jawatan tersebut benar-benar bersih,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan individu yang mempunyai kaitan dengan pihak atasan juga perlu dielakkan bagi memelihara integriti agensi berkenaan.
“Tidak perlulah lantik saudara- mara, rakan- rakan kerana ia sedikit sebanyak akan memberi pengaruh walaupun individu itu tidak terlibat dalam membuat keputusan,” katanya.
Comments
Post a Comment