Skip to main content

Kami sokong SPRM




MENGEJUTKAN. Itulah reaksi saya selepas membaca berita kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar perlakuan rasuah yang didakwa dilakukan oleh empat orang suspek termasuk seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah, 5 Oktober lalu.
Masakan tidak, ekoran penangkapan empat orang suspek berkenaan, SPRM berjaya menyita pelbagai aset termasuk wang tunai mencecah lebih RM100 juta. Selain wang tunai antara aset yang disita adalah kereta mewah, barang kemas, geran tanah dan beg tangan berjenama.
Paling hebat SPRM turut memaklumkan yang mereka terpaksa mengambil masa 15 jam untuk mengira wang tunai sebanyak RM52 juta. Kesemua wang itu dirampas hasil serbuan di rumah dan di pejabat pengarah serta timbalan pengarah terlibat.
Sebaik sahaja berita itu disiarkan, saya percaya ramai antara kita turut menerima foto wang yang begitu banyak disimpan dalam almari sebelum dirampas oleh pihak SPRM melalui media sosial. Sejauh mana kesahihan foto sukar hendak dipastikan tetapi itulah gambar yang saya sendiri turut menerimanya.
Menurut akhbar arus perdana, kesemua suspek yang terlibat dipercayai terbabit dalam kes menyalah guna dana kerajaan Persekutuan untuk projek infrastruktur bekalan air Sabah sejak enam tahun lalu. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada SPRM atas kejayaannya membongkar satu jenayah rasuah paling besar yang disyaki didalangi oleh dua penjawat awam di negeri berkenaan.
Saya percaya pembongkaran yang dilakukan itu adalah hasil daripada kerjasama semua unit SPRM terutama daripada pihak risikan. Sudah pasti setiap gerak kerja dilakukan secara terperinci dan teliti bagi memastikan semua suspek yang disyaki berjaya ditahan apabila tiba masanya.
Ini bukan satu kerja mudah memandangkan dua daripada empat suspek adalah penjawat awam yang mempunyai kedudukan tinggi dalam agensi mereka. Nampaknya komitmen SPRM untuk memburu jerung-jerung besar terutama dalam kalangan penjawat awam terus dilakukan tanpa kompromi.
Mana-mana penjawat awam atau mereka yang disyaki akan diburu sehingga ke lubang cacing. Sebelum ini, SPRM berjaya membongkar perbuatan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah. Individu berkenaan dipercayai memiliki 31 kondominium mewah bernilai lebih RM15.5 juta.
Tidak berapa lama kemudian, SPRM berjaya membongkar perbuatan rasuah dan salah guna kuasa bernilai RM15 juta yang didakwa dilakukan oleh Pengerusi bergelar Tan Sri dan Pengarah Urusan bergelar Datuk daripada sebuah bank milik kerajaan.
Kedua-dua mereka ini telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 September lalu dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan me­lakukan pecah amanah terhadap Peruntukan Kumpulan Perbelanjaan Pemasaran berjumlah hampir RM15 juta, Mac lalu.
Sebagai salah seorang anggota masyarakat, saya sebenarnya amat kecewa dengan perbuatan penjawat awam yang tidak amanah. Saya bercakap ini secara umum dan bukannya membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak. Disebabkan wujudnya segelintir penjawat awam sebegini, rakyat telah dinafikan hak untuk mereka hidup lebih selesa.
Bagi saya ini bukan masalah kerajaan yang memerintah sebaliknya berkaitan dengan pihak pelaksana yang tamak, khianat dan mementingkan 
diri sendiri. Disebabkan mereka, rakyat gagal menikmati segala kemudahan yang disediakan.
Saya juga percaya dan yakin segala yang dilakukan oleh 
SPRM ini adalah tergolong 
dalam usaha mencegah kemungkaran yang amat 
dituntut dalam Islam. Mudah-mudahan mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT atas pekerjaan yang dilakukan ini. Ayuh SPRM, jangan khuatir, kami sentiasa di belakang anda.
CHE YAM
Jinjang Utara


http://www.utusan.com.my/rencana/forum/kami-sokong-sprm-1.393492

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip