Membanteras rasuah bukan tugas eksklusif SPRM

PUTRAJAYA - Pencegahan dan pembanterasan rasuah bukan tugas eksklusif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semata-mata, sebaliknya menuntut penglibatan rakyat keseluruhan, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata penglibatan dan sokongan rakyat dalam usaha pencegahan rasuah berupaya memberi impak yang amat besar kepada suruhanjaya itu dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau berkata kesepaduan, kerjasama dan kebersamaan antara SPRM dan anggota masyarakat amat penting dalam memastikan usaha-usaha ke arah pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

"Justeru, saya harap anggota SPRM dapat menterjemahkan suatu perubahan yang lebih bermakna agar dapat terus bersama rakyat, berganding bahu dan saling melengkapi dalam mewujudkan masyarakat yang bebas rasuah," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran, tazkirah dan solat hajat di Masjid Putra di sini hari ini.

Majlis bersempena sambutan ulang tahun ke-49 penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil serta jemaah di kalangan penduduk setempat.

Dzulkifli turut menarik perhatian bahawa dalam SPRM perlu dilihat bersama, membela dan mesra rakyat tetapi dengan perasuah perlu berubah karakter dengan memerangi secara habis-habisan.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab yang dipikul setiap anggota dan pegawai SPRM merupakan satu amanah yang akan dipersoal rakyat tetapi lebih utama persoalan yang perlu dijawab di akhirat kelak.

Majlis itu turut diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Pencegahan Rasuah #BermulaDaripadaAnda' oleh pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim. – Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip