Skip to main content

Jadikan SPRM rakan masyarakat

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Masyarakat umum perlu mengubah persepsi mereka terhadap Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai organisasi yang di­takuti, sebaliknya menjadikan ia sebagai rakan baik untuk menya­lur­kan mak­lumat berhubung de­ngan­ seba­rang penyelewengan yang jika dibiarkan akan merugikan rakyat dan negara.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Norazlan Mohamad Razali berkata, banyak kes rasuah dilakukan oleh kakitangan awam berjaya dibongkar oleh agensi berkenaan ternyata didapati banyak merugikan rakyat dan negara apabila peruntukan pembangunan diselewengkan untuk kepentingan peribadi.
Beliau memberi contoh tindakan terbaharu SPRM menahan dua pegawai kanan agensi kerajaan negeri berkaitan dengan pengurusan air negeri di Sabah, baru-baru ini mendapati RM3.3 bilion peruntukan pembangunan infrastruktur air dipercayai termasuk daripada kerajaan Per­sekutuan ditemukan dalam simpanan peribadi suspek.
“Jadi masalah seperti ini ji­ka tidak mendapat tindakan SPRM, ia akan mengakibatkan banyak projek pembangunan infrastruktur tidak dapat dilaksanakan untuk faedah rakyat,” katanya ketika menjadi ahli panel Forum Rakyat Mesra SPRM di Dewan Datuk Setia Mufti Suib, UMNO Bahagian Ampang, dekat sini malam kelmarin.
Forum dengan kerjasama Biro Penerangan UMNO Bahagian Ampang itu turut menampilkan dua lagi anggota panel terdiri da­ri­pada Ketua UMNO bahagi­an tersebut, Datuk Ismail Kijo ser­ta bekas majistret merangkap Naib Presiden Yayasan Anti Ra­su­ah Selangor, Firdaus Ramlan, ma­nakala bekas Ahli Dewan Unda­ngan Negeri Bukit Antarabangsa, Azman Wahid sebagai moderator.
Norazlan menambah, selain pihak tertentu yang membuat aduan kepada SPRM mengenai kes rasuah melibatkan kakitangan awam mahupun sektor swasta, orang ramai juga boleh mengambil langkah berani yang sama jika mereka mempunyai bukti penyelewengan dan maklumat pengadu adalah dilin­dungi.
“Sehubungan itu Forum Rak­yat Mesra SPRM yang diadakan ini akan diperluaskan supaya masyarakat umum sentiasa berperanan menjadi mata dan te­linga SPRM, apatah lagi de­ngan keanggotaan SPRM sekitar 2,900 orang, kami tidak dapat berada di semua tempat untuk tugas berkenaan,” ujarnya.
Ismail pula berkata, langkah yang diambil oleh SPRM menjayakan forum sedemikian sudah pasti dapat mendidik masyarakat supaya berintegriti sekali gus peka terhadap usaha membanteras gejala rasuah yang menjadi ancaman kepada pembangunan negara.
Sementara itu, Firdaus menceritakan pengalaman pahitnya suatu ketika dahulu daripada seorang majistret di Kelantan, beliau kemudiannya terhumban ke dalam penjara akibat kesalahan rasuah dan ini memberi keinsafan bahawa perbuatan tersebut mesti dijauhi kerana hukuman yang diterima amat derita bukan sahaja kepada pesalah, malah turut memberi kesan terhadap anggota keluarga.
“Maka saya mahu ingatkan kepada sesiapa sahaja supaya menjauhi perbuatan rasuah walau bermula daripada sekecil-kecilnya, kerana penderitaan akibat perbuatan itu saya sudah lalui sejak didakwa di mahkamah sehinggalah dihukum penjara,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip