Skip to main content

BANGKIT LEBIH KENTAL



PADA 2 Oktober lalu, kita telah dianugerahkan kesempatan untuk bersama-sama meraikan ketibaan tahun baharu Islam, tanggal 1438 Hijrah. Awal Muharam adalah bulan pertama yang menjadi titik tolak bagi melakukan penghijrahan hati, minda dan jihad kepada acuan hidup yang lebih diredai yang berlandaskan al-Quran dan hadis. Jika kita menyorot kembali peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, apa yang menarik bukan sahaja kerana sejarahnya, tetapi bagaimana perancangan dan pelaksanaan strategi yang dilaksanakan secara bijak, yang dikenang sebagai lambang kejayaan Islam.
Dalam konteks sirah Rasulullah SAW, hijrah ini bukan sahaja suatu manifestasi keimanan yang tidak tertanding, malah merupakan suatu penzahiran contoh strategi dan perancangan yang berkesan, dalam usaha umat itu sendiri, bergerak ke arah paradigma perubahan bagi membentuk tamadun agung.
Sinar gerak kerja yang lebih positif, tersusun dan efektif ini jugalah yang diharapkan akan turut berlaku dan dirasai di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini, khususnya bersempena dengan sambutan Ulang Tahun SPRM yang ke-49 pada 1 Oktober lalu.
Sambutan Ulang Tahun SPRM yang ke-49 ini harus menjadi titik mula dan medan untuk menzahir serta mencetuskan semangat baharu dalam memperkasakan SPRM di persada negara dan antarabangsa dalam mengetuai perjuangan membanteras dan memerangi gejala rasuah.
SPRM perlu berada di landasan yang baharu. Perjuangan yang bakal ditempuh ini, perlu diperkemaskan dengan merencana strategi yang tepat serta disokong dengan kerjasama dan kerja kuat daripada semua pihak. Ini kerana ‘Berperang tanpa strategi, adalah ibarat berjuang tanpa nadi.’
Kini setelah 49 tahun berlalu, terlalu banyak kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai oleh SPRM. Namun demikian, SPRM tidak harus mendabik dada membuai lena, dengan menghela nafas puas terhadap pencapaian-pencapaian lalu yang dikecapi. Sebaliknya, SPRM harus sedar dan terus bangkit sebagai satu organisasi yang lebih kukuh dan kental, bagi menghadapi cabaran episod baru hari esok, yang tiada tentu penghujungnya.
Cabaran yang bakal datang menanti di SPRM ini, lebih besar dan getir parasnya. Justeru, tugas murni dan amanah yang dipikul ini harus diteruskan dengan semangat dan iltizam baharu, demi memastikan rakyat dan negara akan terus kekal yakin terhadap saf SPRM dalam memperjuangkan usaha-usaha membanteras dan memerangi jenayah rasuah di Malaysia.
Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-49 kali ini, harus menjadi titik mula kepada era baharu SPRM dalam melahirkan warganya yang lebih berkualiti, dinamik dan berpendidikan tinggi. Berpaksikan kepada keinginan ini, pihak pengurusan tertinggi SPRM memandang berat terhadap kebajikan dan kemajuan kerjaya para pegawai SPRM. Ini kerana kemajuan modal insan di SPRM merupakan pemangkin kepada kemajuan dan cerminan masa hadapan organisasi SPRM itu sendiri.
Dalam pada itu, kerapkali dinyatakan bahawa isu rasuah ini merupakan isu rakyat dan SPRM harus dilihat hampir dan seiring dengan aspirasi rakyat. Amanah dan kepercayaan rakyat harus disanjungi dan dihormati.
Saya kini saban hari menerima begitu banyak maklum balas yang amat positif daripada kalangan ahli masyarakat dan pertubuhanbukan kerajaan (NGO), hasil daripada kerja-kerja penguatkuasaan yang telah kita lakukan sejak akhir-akhir ini di peringkat ibu pejabat atau nasional, mahupun di peringkat negeri.
Masyarakat atau rakyat telah mula menunjukkan rasa minat mereka untuk menghampiri SPRM. Rakyat kini semakin terpanggil untuk berdiri seiring dan menjadi sebahagian daripada perjuangan SPRM.
Mencatur
Justeru, SPRM perlulah mengambil kesempatan ini untuk memastikan agar jambatan silaturahim antara rakyat dan SPRM ini terus terjalin dan dipelihara.SPRM tidak harus mencerminkan identiti institusi yang bersifat eksklusif sebaliknya harus dilihat sebagai institusi yang lebih inklusif dan terbuka agar kita menjadi accessible kepada rakyat.
Dalam membawa imej SPRM di era baharu ini, SPRM juga akan meningkatkan dan menambah baik aktiviti-aktiviti pencegahan yang ingin kita laksanakan. SPRM perlu mencatur semula strategi, bagi memperlihatkan presence dan visibility SPRM di lokasi-lokasi strategik yang sering dikunjungi oleh rakyat dalam melakukan urus niaga harian mereka.
Sungguhpun keanggotaan SPRM itu tidak ramai, tetapi SPRM perlu melaksanakan kerja-kerja dengan lebih bijaksana supaya dirasai ramai dan sering berada di bawah bersama rakyat. Our presence must be felt. SPRM perlu mencipta suasana atau rasa diperhatikan dalam kalangan mereka yang berpotensi melakukan rasuah. Ini kaedah kerja yang baharu, yang perlu dipraktikkan bagi tujuan pencegahan.
Dalam semangat dan kesungguhan SPRM melaksanakan tugas memerangi gejala rasuah di luar sana, SPRM tidak harus lalai dan lupa memelihara integriti dan disiplin. Kelekaan terhadap peri pentingnya memelihara integriti dan nama baik organisasi, akan hanya merencatkan momentum tugas dan mencalar nama baik organisasi SPRM yang dikasihi.
Saya sering berpesan kepada seluruh warga SPRM, bahawa ‘jangan hanya dek kerana beberapa titis racun dalam kalangan kita, akan habis terkorban kita sekeluarga. Segala usaha dan kejayaan yang kita kecapi akan lebur dilupakan begitu sahaja kerana masyarakat di luar sana lebih sukar untuk memuji, tetapi lebih pantas untuk mengeji.’
Bersempena sambutan Ulang Tahun SPRM yang ke-49, saya berharap semua warga kerja SPRM akan terus memberikan komitmen kerja yang tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh, memainkan peranan melaksanakan tugas sebagai ejen perubahan dan pembangunan negara dengan meneruskan perjuangan dalam membanteras dan memerangi gejala rasuah secara habis-habisan.
Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun SPRM ke-49 ini juga, marilah kita bersama-sama menanam azam baharu untuk mengislahkan diri, dengan menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. SPRM mesti berani keluar dari kepompong lama, agar SPRM dapat terus maju dan diangkat martabatnya di persada kegemilangan yang sewajarnya.
Marilah bersama-sama saya, kita berjuang memerangi mereka di luar sana yang masih buta bertuhankan wang!

PENULIS ialah Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip