Skip to main content

Audit, SPRM sertai projek lebih RM500j

PUTRAJAYA 11 Okt. - Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) te­lah bersetuju dengan cadangan agar kedua-dua agensi tersebut terlibat dalam projek kerajaan bernilai RM500 juta dan ke atas.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa ketika me­ngumumkan perkara itu berkata, berikutan persetujuan itu, satu jawatankuasa kerja akan diwujudkan bagi menggerakkan cadangan tersebut.
“Pihak Jabatan Audit Negara dan SPRM sememangnya bersetuju untuk menyertai dan terlibat dalam projek-projek mega. Jadi, kita akan teruskan seperti apa yang dibincangkan.
“Sebenarnya, sejak dahulu sudah ada perkara seumpama ini tetapi cuma kita kali ini akan menguatkuasakannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Persidangan Tahunan Agama Persatuan Suri dan Anggota Wa­nita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), di sini hari ini.
Ali baru-baru ini mencadang­kan projek kerajaan bernilai RM500 juta dan ke atas perlu melibatkan penyertaan Jabatan Audit Negara dan pihak SPRM bagi membanteras penyeleweng­an dan rasuah.
Dalam pada itu, Ali memberi­tahu, kerajaan telah menaikkan gred pegawai kastam, Allahyarham Anisah Ali, 54, yang meninggal dunia ketika bertugas kelmarin daripada gred 22 kepada 26.
Beliau berkata, kenaikan posthumous itu adalah bagi memastikan tanggungan Allahyarham mendapat ganjaran menerusi gred baharu berkenaan.
“Sememangnya kita telah uruskan kenaikan gred Allahyarham iaitu dari gred 22 ke 26 jadi tanggungan beliau akan dapat ganjaran yang diberikan mengikut gred baharu,” katanya.
Dalam kejadian pada 1.20 pagi itu, mangsa bersama dua lagi rakannya menaiki kenderaan pa­cuan empat roda ketika bertugas dirempuh sebuah kenderaan lain dipercayai tonto sebelum kenderaannya terbabas dan melanggar pokok.
Mangsa yang koma, meninggal dunia semalam akibat kece­deraan dalaman dan komplikasi usus selepas dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam meminta kerajaan menimbangkan gred yang lebih tinggi kepada Allahyarham.
Ditanya berhubung cadang­an agar waktu bekerja penjawat awam dikurangkan sehingga enam jam sehari, Ali berkata, perkara itu tidak akan dilaksanakan.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip