Harga sebuah kepercayaan
KEPERCAYAAN adalah teras kehidupan dan nadi kewibawaan sesebuah negara. Semakin tinggi kepercayaan, semakin penting kedudukan negara dalam peta dunia. Kepercayaan tidak boleh dicagarkan sewenang-wenangnya. Kepercayaan yang terancam perlu dipulihkan walaupun sukar. Amat malang bagi negara yang terdedah kepada ancaman kepercayaan tetapi terus diabaikan.
Tingkah laku dan sikap pemegang amanah menggambarkan kewibawaan negara. Jika orang yang diamanahkan terlibat dengan amalan yang tidak berakhlak, amanah dikhianati dan negara akan tergadai.
Ancaman kepercayaan bermula daripada unsur-unsur negatif seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah. Selain daripada unsur berbentuk etika, keberkesanan dan kecekapan negara juga mempengaruhi kepercayaan. Bidang yang sering menarik perhatian rakyat ataupun masyarakat antarabangsa dalam menilai tahap kepercayaan ialah politik, ekonomi, sosial, pentadbiran, sistem kewangan, perundangan, pendidikan dan keselamatan.
Malaysia berhadapan dengan ancaman penurunan kadar kepercayaan yang serius. Berdasarkan statistik Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi 2016 hingga Februari 2017, sebanyak 665 kertas siasatan dibuka membabitkan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam. Rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa adalah ancaman langsung terhadap kepercayaan kerana kesannya berganda umpama domino menulari perkara-perkara lain.
Jika sejumlah wang melibatkan rasuah dikesan bernilai jutaan ringgit, bayangkan nilai wang bagi kes-kes yang terlepas dalam urusan yang tidak dapat dikesan di dalam atau luar negara. Kos ini akan ditanggung oleh negara secara tidak langsung atas nama ketirisan, ketidakcekapan, pembekalan tidak wajar dan kos pemulihan projek pembangunan. Ia meningkatkan perbelanjaan negara dengan kerugian dibebankan ke atas pendapatan negara dan wang rakyat.
Sehubungan itu juga Transparency International (TI) melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 dan Barometer Rasuah Global (GCB) 2017 melaporkan tentang penurunan kadar persepsi ketelusan Malaysia yang berada di zon oren-merah. Analisis TI juga mengetengahkan kaitan antara korupsi dan ketidaksamarataan agihan kuasa dan kekayaan negara.
Laporan ini memberi gambaran buruk dan menjejas keyakinan pelabur terhadap ketelusan negara sedangkan keyakinan amat penting dalam menggalakkan pelabur luar melabur di Malaysia.
Dari perspektif perniagaan, daya tarikan negara jiran Singapura terletak pada keyakinan terhadap kerangka undang-undang yang telus dan kukuh melengkapi kestabilan ekonomi dan politiknya. Pulau kecil yang terletak di rantau Asia Tenggara ini telah muncul sebagai salah satu daripada Empat Harimau Asia dengan pusat kewangan utama yang melibatkan anggaran urusniaga harian bagi pasaran tukaran wang terbesar di Asia Pacific berjumlah $517 bilion (April 2016).
Keseluruhan pasaran kewangan Singapura menyumbang sebanyak 13% Pendapatan Dalam Negara Kasar serta menawarkan 200,000 peluang pekerjaan. Singapura mempunyai pasaran modal yang kukuh dan menjadi tempat pasaran pengurusan insurans dan kekayaan terkemuka. Ia mempunyai tenaga kerja yang berdisiplin dan cekap dengan separuh daripada penduduk yang terdiri daripada orang Cina, Inggeris, India dan Melayu.
Singapura mampu mengubah ekonominya walaupun dengan sumber terhad, berbanding Malaysia.
Dari sudut keberkesanan dan kecekapan pula, Singapura melebarkan kepelbagaian dan pengkhususan dalam industri seperti bahan kimia, sains bioperubatan, penapisan petroleum, kejuruteraan mekanikal dan elektronik. Tanpa kepercayaan, negara akan gagal menjadi mesra perniagaan, pusat khidmat kewangan dan banyak peluang lain lagi terlepas ke tangan negara yang lebih dipercayai.
Kepercayaan bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pendapatan negara tetapi berupaya mengoptimumkan penggunaan sumber. Sekiranya negara bersih rasuah, bayangkan betapa penjimatan wang yang kemudiannya boleh dialirkan kembali bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan jentera awam seperti kenaikan imbuhan penjawat awam, penambahbaikan infrastruktur awam, peruntukan pembangunan atau kemudahan pasaran. Implikasi langsung penambahbaikan ini akan meningkatkan nilai saing penjawat awam dan mampu menarik tenaga pakar menyertai perkhidmatan awam serta merangsang keberkesanan dan kecekapan. Perkhidmatan awam tidak lagi menjadi pilihan terakhir, malah golongan profesional memilih perkhidmatan awam dan berbangga menjadi sebahagian daripadanya.
Faktor-faktor modal manusia merangkumi ketersediaan tenaga kerja mahir, fleksibiliti pasaran buruh, kualiti pendidikan perniagaan dan kemahiran tenaga kerja, dan kualiti hidup. Faktor-faktor persekitaran perniagaan agregat dan nilai peraturan, kadar cukai, tahap korupsi, kebebasan ekonomi dan kemudahan perniagaan. Walaupun demikian, reputasi dan kepercayaan perlu sentiasa berada dalam radar perancangan. Aspek peningkatan kepercayaan dan usaha memerangi gejala pengkhianatan terhadap negara perlu diberikan perhatian.
Bertepatan dengan apa yang ditunjukkan oleh peribadi Rasulullah SAW yang digelar Yang Dipercayai (al-Amīn) dan dalam konteks yang lain, al-Quran memberi panduan bahawa kepercayaan merupakan tunggak kepada guna tenaga.
Mafhum surah al-Qasas Ayat 26: “Sesungguhnya orang yang paling baik untuk engkau berikan kerja adalah orang yang kuat (qawī), lagi amanah (amīn).”
Malaysia perlu merancang peningkatan kepercayaan dalam semua aspek. Bak kata penyair, Tenas Effendy: “Wahai saudara serta sahabat, memikul amanah amatlah berat, menjadi hutang dunia akhirat, tersalah langkah membawa mudarat. Wahai segala sahabat-handai, memikul amanah janganlah lalai. Sumpah dijunjung janji ditunaikan, supaya maruah tidak tergadai.”
Kemajuan dan kemakmuran tidak dapat dipisahkan dari kepercayaan dan kewibawaan serta terus menjadi tanggungjawab bersama. Jika hari ini kita leka menggadai maruah, negara akan lupus dan hilang dari peta dunia.
Kita perlu tingkatkan ketegasan terhadap pengkhianat negara serta gigih merancang guna tenaga agar menjiwai budaya kerja cekap dan berkesan.
Malaysia perlukan rangka perancangan ekonomi, politik, sosial, perundangan, keselamatan, pendidikan dan kewangan berkepercayaan untuk kekal bernilai saing dalam pasaran dunia yang makin mencabar ini. Kepercayaan tidak boleh diniagakan apatah lagi digadai kerana harganya tidak ternilai dan kita tidak akan mampu menebusnya kembali sekiranya ia lebur.
PENULIS ialah Felow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia.
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/harga-sebuah-kepercayaan-1.500977#ixzz4mUnD0gpg
Comments
Post a Comment