3 penjawat awam, 2 NGO, kontraktor ditahan SPRM
KES SATU
Suami pegawai pertanian subahat salah guna kuasa
SEREMBAN 11 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan suami kepada Penolong Pegawai Pertanian di Pusat Hortikultur Sendayan kerana disyaki bersubahat dalam satu kes salah guna kuasa.
Sebelum ini, isteri kepada lelaki berkenaan telah pun direman enam hari bermula 7 Julai lepas bagi membantu siasatan.
SPRM dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, lelaki yang berusia 31 tahun itu dan bekerja sebagai kontraktor ditangkap di pejabat SPRM negeri pada pukul 4.13 petang.
Suspek yang kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 akan dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Seremban esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman, kata kenyataan itu.
Penolong Pegawai Pertanian itu yang berusia 34 tahun sebelum ini didakwa telah menggunakan kedudukannya dengan melantik suaminya untuk melaksanakan Projek Menyelenggara Sistem Pengairan Projek Herba dan Projek Menyelenggara Nurseri Herba, Pusat Pertanian Sendayan yang masing-masing bernilai RM10,100 dan RM19,900.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar Ogos tahun lepas. – BERNAMA
KES DUA
Pindah wang Misdec RM4 juta ke akaun sendiri
KUALA LUMPUR 11 Julai - Pindah wang syarikat ke dalam akaun peribadi.
Itulah dilakukan dua beranak yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat dalam salah guna kuasa dengan melulus dan memindahkan wang milik Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdec) bernilai RM4 juta ke akaun mereka.
Kedua-dua mereka yang masing-masing memegang jawatan Pengurus Eksekutif serta Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan di Misdec ditahan di Melaka hari ini.
Hasil penahanan itu, akaun bernilai RM600,000 turut disita dan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta perkakasan syarikat bernilai hampir RM350,000 dirampas.
Menurut sumber, kedua-dua mereka yang berusia 76 dan 43 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak 2014 sehingga 2015.
Ujarnya, Misdec merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri.
“Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan negeri Melaka memperuntukkan RM4.5 juta kepada NGO tersebut, namun sehingga kini tidak ada sebarang latihan dilaksanakan.
“Hasil siasatan, pemindahan wang milik Misdec itu telah dilakukan menerusi beberapa keping cek yang nilainya mencecah lebih kurang RM4 juta untuk dimasukkan kepada akaun, dipercayai syarikat milik mereka,” katanya di sini hari ini.
Tambah sumber, kedua-dua beranak terbabit dikatakan telah menubuhkan sebuah syarikat dan memindahkan hampir kesemua wang itu ke dalam akaun syarikat tersebut bagi tujuan peribadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan beliau memberitahu bahawa pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti-bukti berkaitan kes.
Jelasnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dijatuhi hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
“Kedua-duanya mereka dijangka dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh untuk direman pagi esok bagi membantu siasatan,” katanya.
KES TIGA
Tiga pegawai KPDNKK terima rasuah pengusaha gas
JOHOR BAHRU 11 Julai – Kegiatan tiga pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri ini yang disyaki meminta serta menerima wang rasuah daripada seorang pengusaha dan pengedar gas memasak tanpa lesen akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan hari ini.
Kesemua suspek berusia dalam lingkungan antara 30 hingga 50 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di pejabat KPDNKK di sini dan Kota Tinggi antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi ini.
Turut ditahan ialah pengusaha dan pengedar gas memasak terbabit di rumahnya di Kulai, pukul 8.20 pagi.
Menurut sumber, siasatan awal mengesyaki wang rasuah yang diberikan oleh pengusaha dan pengedar gas memasak tanpa lesen itu telah dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik saudara salah seorang pegawai KPDNKK sebelum diagihkan kepada pihak yang berkenaan.
“Wang rasuah berkenaan dibayar kepada pegawai KPDNKK terbabit sebagai wang perlindungan supaya tindakan tidak diambil ke atas pengusaha haram terbabit yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961,” katanya di sini hari ini.
Menurut sumber itu lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/3-penjawat-awam-2-ngo-kontraktor-ditahan-sprm-1.501877#ixzz4mZkWolds
Comments
Post a Comment