3 negeri pembangkang belum tandatangan IBR
KUALA LUMPUR 10 Julai – Cakap berdegar-degar tolak rasuah dan suruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil tindakan, tetapi sehingga kini tiada sebarang komitmen ditunjukkan.
Itu sindiran Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad terhadap tiga kerajaan negeri di bawah kepimpinan pembangkang yang masih belum memberikan komitmen untuk menandatangani ikrar Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Ini kerana selepas tiga bulan Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) dilancarkan oleh SPRM semua negeri kecuali iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan telah menandatangani ikrar tersebut.
Menurut Dzulkifli, program IBR adalah bersifat sukarela bagi melihat keprihatinan semua kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran di negeri masing-masing bebas rasuah dan salah guna kuasa.
“Kerajaan negeri perlu menunjukkan contoh daripada semua peringkat kerana menerusi IBR, ia membuktikan komitmen sesebuah institusi sebagai salah satu usaha untuk memerangi rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Gerah di Lobi Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC), Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.
Comments
Post a Comment