Enam pegawai kastam di Bintulu diambil keterangan

KUALA LUMPUR 10 Julai – Ke­tua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mengakui kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penguat kuasa seperti yang berlaku di Bintulu, Sarawak, bukanlah perkara baharu.
Sehubungan itu ujarnya, pihaknya tidak akan membiarkan rasuah dan salah guna kuasa itu terus berleluasa dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku.
“Tunggu dan lihat tindakan SPRM, kita bukan hanya memberi tumpuan di Bintulu sahaja tetapi di tempat lain juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) di Lobi Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC), Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sementara itu, satu sumber memberitahu, setakat ini seba­nyak enam pegawai kastam yang bertugas di Bintulu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, masih tiada pegawai atasan kastam yang dipanggil dan berkemungkinan kenyataan mereka akan diambil dalam masa terdekat.
Akhbar hari ini melaporkan siasatan SPRM tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan pegawai atasan kastam dalam kegiatan ‘melepaskan’ batang paip kepunyaan sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) untuk dieksport ke luar negara tanpa sebarang pembayaran cukai.
Hasil siasatan lanjut juga mendapati, kegiatan terbabit bukan hanya berlaku di Bintulu tetapi turut melibatkan beberapa pelabuhan lain di negara ini.
Jumaat lalu, seorang pegawai kastam di Bintulu berpangkat penolong penguasa dipercayai direman SPRM selepas dikatakan me­minta wang suapan berjumlah AS$10,000 (RM43,000) untuk memudahkan bara­ngan dieksport secara haram ke Du­bai.
Kesemua batang paip itu diikrarkan sebagai barang yang telah dilupuskan bagi mengelak dikenakan cukai sedangkan sebenarnya tidak dilupuskan dan dipercayai akan dihantar ke Dubai menggunakan 90 kontena.


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip