SPRM janji tangkap 'ikan jerung'
SPRM akan terus tangkap 'ikan jerung'! Demikian ditegaskan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin ketika menafikan dakwaan kononnya hanya 'ikan bilis' yang menjadi sasaran mereka selama ini.
Sebagai bukti, kata Shamshun, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, SPRM berjaya menahan 501 orang dan daripada jumlah itu, 223 orang terdiri daripada kakitangan awam.
"Daripada sejumlah kakitangan awam yang ditahan ini, 12 orang daripadanya adalah pegawai-pegawai tinggi agensi kerajaan terutama membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurutnya, bermula Januari hingga Jun tahun ini juga, 232 orang telah didakwa di mahkamah, manakala 113 orang bersabit kesalahan.
"Pada Mei tahun ini mencatatkan jumlah penangkapan paling tinggi iaitu 108 orang dan jumlah yang didakwa ke mahkamah pula seramai 71 orang.
"Sementara jumlah membabitkan kesalahan paling tinggi ialah pada Januari tahun ini iaitu seramai 34 orang," katanya.
Beliau berkata, sekiranya mengikut jumlah penangkapan pada separuh pertama tahun ini, SPRM menjangkakan memecahkan rekod tertinggi dari segi jumlah tangkapan iaitu melebihi 1,000 orang sepanjang tahun ini.
"Rekod tangkapan tertinggi sebelum ini dicatatkan pada 2010 iaitu seramai 944 orang," katanya.
Beliau menjelaskan, sekalipun jumlah tangkapan melebihi 1,000 orang, tetapi itu bukan bermakna gejala rasuah di Malaysia semakin teruk, sebaliknya rakyat semakin banyak beri sokongan kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah.
Comments
Post a Comment