Indeks dari TI-M hanya tanggapan, bukan realiti

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 tidak perlu dilihat dari sudut persepsi semata-mata, tetapi juga dari sudut realiti.

Pemerhati berpendapat, ramai pihak terlalu bergantung pada satu sumber sahaja tanpa merujuk data dari penguatkuasa tempatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh memberikan sisi sebenar keadaan rasuah di negara ini, terutama membabitkan jumlah tangkapan rasuah dan kekerapan operasi penguatkuasaan.

Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Seri Zakaria Jaafar, berkata secara persepsinya, CPI sememangnya memberi tanggapan bahawa kegiatan rasuah semakin serius di negara ini.

Namun begitu, beliau berkata, apabila semua pihak lihat dari sudut realitinya pula, indeks itu mencerminkan keseriusan SPRM melalui pelbagai operasi penguatkuasaan yang akhirnya membuahkan hasil apabila banyak tangkapan rasuah dibuat.

"CPI adalah indeks persepsi dan memang satu alat pengukuran yang kita pakai di Malaysia mengenai rasuah. Indeks realitinya pula, kita boleh rujuk data statistik tangkapan daripada SPRM.

"Dua ini (persepsi dan realiti) sentiasa bertembung dan terbalik. Kalau nampak persepsi ini turun (kedudukan), kita kena juga tengok data SPRM juga merangkumi jumlah tangkapan yang direkodkan.

"Apa bukti rasuah banyak? (Jumlah) Tangkapanlah. Bila tangkapan banyak, mesti ada persepsi. Ini masalah persepsi dan realiti yang selalu bertentangan.Kita nampak SPRM bersungguh-sungguh buat kerja, jadi itu sebab kita nampak kegiatan rasuah banyak.

"Misalnya, tahun ini banyak (tangkapan) berbanding tahun sebelumnya. Bulan Januari sudah ada 90 tangkapan. Kalau darab dengan 12 bulan dah lebih 1,000 tangkapan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan indeks yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M), Rabu lalu, Malaysia berada di tangga ke-62 daripada 180 negara, agak tercorot berbanding ke-55 daripada 176 negara pada 2016.

Malaysia mencatatkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI tahun lalu, menurun dua mata berbanding 49 pada 2016.

Skor dalam CPI ditentukan menurut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala 'kosong' (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, berpendapat CPI adalah indeks persepsi dan dianggap bukan alat pengukur yang terperinci mengenai situasi rasuah di negara ini.

Beliau berkata, maksudnya, dapatan indeks berkenaan diperoleh daripada kaji selidik yang bercampur-campur dari banyak tempat dan kriteria.

"Transparency International mengguna pakai metodologi berbeza. Ia hanya memberikan saya idea bagaimana orang lihat negara ini. Saya tak labelnya sampah. Saya terima.

"Tetapi, setiap negara berbeza cara. Kamu tidak boleh laksanakan kaedah sama seperti yang kamu buat di negara lain di Malaysia. Negara ini berbeza keadaannya.

"CPI bukan sacred book (kitab suci) yang harus kita percaya bulat-bulat. Ia cuma metodologi. Realitinya, SPRM sudah lakukan yang terbaik. Banyak tangkapan yang dibuat, banyak operasi dijalankan. Ini sepatutnya ditonjolkan dalam indeks berkenaan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/391904/indeks-dari-ti-m-hanya-tanggapan-bukan-realiti

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip