Sogok pegawai JPJ: Pemilik bas dipenjara sehari, denda RM11,000

KUANTAN 21 Feb. - Seorang pemilik bas dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi suapan RM500 kepada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ahad lalu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu selepas R. Muthusamy mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Muthusamy didakwa memberi suapan kepada Ketua Pembantu Penguatkuasa JPJ, Shahrul Shahrizal Mt. Jawahir sebagai dorongan untuk melepaskan bas miliknya yang dipandu oleh pekerjanya yang tidak mempunyai lesen memandu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Penguatkuasaan JPJ, Karak dekat sini pada pukul 2.45 petang, 18 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(6) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd. Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sogok-pegawai-jpj-pemilik-bas-dipenjara-sehari-denda-rm11-000-1.613475#ixzz57ipwp1fp 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip