SPRM LANCAR KEMPEN GEMPUR DIDIK PENJAWAT AWAM PERANGI RASUAH



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah atau GEMPUR bagi mendidik penjawat awam supaya menolak sebarang bentuk tawaran atau pemberian rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad melancarkan kempen ini serentak di seluruh negara bersempena Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) Siri 2/2018 yang memfokus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kempen berslogan ‘Anda Hulur, Kami Lapor’ ini merupakan penjenamaan semula kepada kempen ‘Perangi Pemberi Rasuah’ yang dilaksanakan pada tahun 2010.
Melalui pelaksanaan kempen GEMPUR, SPRM mahu memberi peringatan kepada penjawat awam agar menolak rasuah dan melaporkan perbuatan tersebut kepada SPRM, pada masa yang sama mendidik orang ramai agar tidak sesekali menawarkan rasuah kepada penjawat awam.
Bagi memastikan keberkesanan kempen ini, GEMPUR akan menyasarkan tiga kumpulan iaitu penjawat awam yang terlibat dalam tugas penguatkuasaan, perolehan dan perlesenan.
Kempen ini juga selaras dengan sasaran SPRM iaitu untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa, malah pelengkap kepada Kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) yang dilancarkan sebelum ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran ini ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Hj. Mhd. Amin Nordin Abd Aziz; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato’ Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato’ Jaafar Mahad.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
13 FEBRUARI 2018


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip