Dua anggota polis didakwa rasuah RM10,000

SEREMBAN: Seorang anggota polis dan rakan setugasnya yang sudah diberhentikan kerja, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan rasuah berjumlah RM10,000 empat tahun lalu.

Koperal Norfazlizan Mat Zain, 34, dan Mohd Fairuz Abd Jalil, 37, yang sebelum ini berpangkat konstabel, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000; RM5,000 dan RM2,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk melepaskan, seterusnya tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana membawa dan menjual rokok seludup di Taman Kiara, Sikamat, di sini.

Perbuatan itu dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu Balai Polis Sikamat, kedai serbaneka di Taman Sri Pulai dan Berek Balai Polis Sikamat di sini, antara 7 sehingga 13 Disember 2014.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi. Mohd Fairuz diwakili peguam Haijan Omar, manakala Norfazlizan tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan mengurangkan jumlah ikat jamin, Haijan memberitahu mahkamah, anak guamnya sudah diberhentikan kerja sejak setahun lalu, manakala Norfazlizan memberi alasan isterinya tidak bekerja dan perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dan menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan semula kes.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/386090/dua-anggota-polis-didakwa-rasuah-rm10000

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip