Skip to main content

Lahirkan generasi muda benci rasuah

ISU rasuah sentiasa mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini. Lebih menyedihkan apabila isu ini sering dikaitkan dengan segala aktiviti berkaitan pencemaran dan kerosakan alam sekitar yang banyak berlaku di negara kita. Terbaru, pihak media membongkar kegiatan perlombongan bauksit yang tidak terkawal di beberapa buah kawasan di Pahang.

Aktiviti perlombongan yang tidak terkawal itu menyebabkan pencemaran berlaku terhadap alam sekeliling dan pada masa sama menjejaskan tahap kesihatan penduduk di kawasan yang berhampiran.

Susulan itu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) termasuk seorang pegawai kanannya kerana disyaki meminta serta menerima rasuah daripada pelombong bauksit tidak berlesen di negeri terbabit pada awal minggu lalu.

Difahamkan, pembayaran wang rasuah itu bertujuan melindungi pelombong haram terbabit daripada diambil sebarang tindakan penguatkuasaan. Nilai wang rasuah dikatakan mencecah RM100,000.

Kesemua yang disyaki kini ditahan dan kes mereka akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh menerima hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Lebih mendukacitakan, pihak SPRM tidak menolak sebarang kemungkinan akan melakukan tangkapan susulan mengenai isu rasuah berkaitan dengan aktiviti perlombongan terbabit.

Boleh dikatakan hampir setiap tahun, isu rasuah akan dibongkar kepada pihak umum. Persoalannya sekarang kenapa rasuah masih berlaku dalam negara?

Sedangkan kerajaan telah melakukan serta melaksanakan pelbagai program pendidikan serta kesedaran terhadap orang ramai untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan rasuah.

Kerajaan juga melaksanakan langkah pemantapan undang-undang dengan menubuhkan agensi khas bagi menangani masalah rasuah yang membelenggu negara kita.

Nampaknya, usaha bagi mengatasi masalah rasuah masih belum tercapai sepenuhnya. Walaupun terdapat beberapa kejayaan, namun usaha berterusan harus diambil bagi membendungnya.

Masalah rasuah ini boleh dianggap sebagai penyakit barah yang jika tiada tindakan pencegahan awal akan menular menjadi lebih parah serta sukar untuk dirawati.

Pelbagai faktor dikenal pasti menjadi punca antaranya wujud sikap tamak dalam diri individu yang terlibat. Sikap tamak dan ingin cepat kaya biasanya akan mendorong individu mengambil jalan mudah dengan menerima suapan daripada pemberi rasuah kerana mereka sudah kehilangan sifat jujur, amanah dan juga kawalan terhadap diri sendiri.

Selain kelemahan sifat peribadi, kurang pegangan serta didikan agama juga akan menyebabkan timbulnya masalah rasuah.

Oleh yang demikian, usaha berterusan perlu diambil bagi memberi didikan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai isu rasuah. Pendidikan awal juga dilihat penting untuk diberikan kepada golongan muda terutamanya kanak-kanak dan remaja yang berada di bangku sekolah mengenai bahaya rasuah.

Institusi pendidikan menjadi medium perantaraan yang penting dalam menangani gejala rasuah dalam masyarakat kita.

Melalui usaha pendidikan yang berkesan serta berterusan, para pelajar boleh mempunyai gambaran dan pengetahuan yang lebih jelas tentang isu rasuah serta kesan buruknya terhadap diri mereka, orang sekeliling serta alam sekitar.

Kementerian Pendidikan tidak pernah mengabaikan kepentingan pendidikan mengenai isu rasuah ini.

Ini dapat dibuktikan dengan adanya Surat Pekeliling Iktisas Bil 17/1998 bertajuk “Memasukkan Elemen Pencegahan Rasuah Dalam Pendidikan Sekolah Dan Institusi Pengajian Tinggi” bertarikh 14 Ogos 1998.

Tujuan Surat Pekeliling ini dikeluarkan dengan harapan setiap sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam negara kita memasukkan elemen rasuah dalam kurikulum pendidikan. Ini sebagai usaha menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar bagi mencegah diri mereka daripada terlibat dengan gejala buruk ini.

Pendedahan awal tentang gejala rasuah ini boleh diterapkan dalam sukatan pelajaran seperti menerusi mata pelajaran Pengajian Islam, Pendidikan Moral, Sivik dan Kewarganegaraan, atau subjek lain yang berkaitan.

Pihak sekolah juga boleh membuka kelab atau persatuan khusus antirasuah bagi memudahkan segala urusan pendidikan mengenai isu rasuah dapat dilakukan.

Bagi menjayakan segala usaha pendedahan awal dan pendidikan yang diberikan, pihak Kementerian Pendidikan boleh menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti SPRM dan badan-badan bukan kerajaan bagi memberi segala bentuk bantuan kepada pelajar serta pihak pengurusan sekolah menjalankan aktiviti atau program berkaitan.

Generasi muda yang dididik agar membenci gejala rasuah dari peringkat awal nescaya akan memiliki sikap telus, jujur dan amanah semasa menjalankan tugas mereka apabila dewasa kelak.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/lahirkan-generasi-muda-benci-rasuah-1.179748#sthash.316flsT4.2jKo85nF.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip