Inspektor Polis Dipenjara Dua Tahun, Denda RM200,000 Kerana Minta Suapan

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Seorang inspektor polis hari ini dipenjara dua tahun dan didenda RM200,000 di sini selepas didapati bersalah meminta suapan wang tunai berjumlah RM40,000 untuk melepaskan seorang lelaki yang ditangkap berhubung satu kes dadah, pada 2013.

Hakim Mahkamah Sesyen Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas K. Raviindran, 34, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Raviindran untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut memerintahkan jumlah jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM17,000.

Raviindran, yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, didakwa atas pertuduhan meminta RM40,000 melalui panggilan telefon daripada Dhalgit Singh Mahinder Singh, 33, sebagai dorongan untuk melepaskan rakannya, K. Manimaran, 26, yang dikatakan ditangkap atas kesalahan menyimpan dadah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kepong di sini antara 8.15 malam dan 10.15 malam 4 Jun 2013.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim dari SPRM.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip