Pegawai kanan polis didakwa gagal isytihar komisyen

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (JSJKL), Datuk Ku Chin Wah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini atas dakwaan gagal mengisytiharkan perolehan komisyen berjumlah hampir RM1 juta tiga tahun lalu. 

Chin Wah yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin. 

Dia yang kini bertugas sebagai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, didakwa gagal mematuhi terma notis Pendakwa Raya mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Disember 2013 di mana gagal mengisytiharkan perolehan dari komisyen berjumlah RM961,500. 

Tertuduh didakwa gagal membuat perisytiharan itu melalui surat akuan bersumpah bertarikh 8 Januari 2014. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 23 Disember 2013 dan Januari 2014 di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Wilayah Persekutuan Putrajaya. 

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan Budiman Lutfi Mohamad, manakala Datuk Geethan Ram Vincent bertindak sebagai peguam bela. 

Terdahulu, Muhammad Saifuddin menawarkan jaminan RM100,000 kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan jumlah yang tinggi. 

Bagaimanapun, peguam bela memohon supaya jumlah itu dikurangkan dan mahkamah menetapkan jumlah yang munasabah.

Hakim kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 dan menetapkan sebutan kes pada 23 Februari ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116902

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip