Bahri Nafi 'Perang' Dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM

PETALING JAYA: Pengarah Bahagian Operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohd Zin menafikan bahawa beliau dan Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah 'berperang besar'.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Bahri menafikan dakwaan yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin di portalnya bahawa beliau hampir bergaduh dengan Abu Kassim berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Bahri menafikan semua tuduhan lain yang dibuat dalam artikel itu dan berkata beliau telah membuat laporan polis mengenainya di Putrajaya, pada Ahad.

"Ya, saya telah membuat laporan polis. Saya berharap siasatan akan membersihkan nama saya dan SPRM," katanya.

Dalam laporan polis, Bahri berkata dakwaan dalam artikel itu adalah tuduhan berniat jahat dan merupakan fitnah.

"Dakwaan bahawa saya juga adalah seorang ejen DAP dan mahu menjatuhkan Umno juga adalah fitnah yang bertujuan untuk mencemarkan nama dan reputasi saya sebagai pegawai SPRM.

"Sebarang tindakan saya semasa saya bersama dengan SPRM telah dijalankan secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan dan untuk mempertahankan kebebasannya," kata beliau.

Bahri berkata, beliau yakin Ketua Pesuruhjaya SPRM dan ketua-ketua SPRM yang lain sentiasa mempertahankan pegawai-pegawainya yang mengekalkan ketelusan dan kebebasan Suruhanjaya dan mereka yang telah bertindak dengan adil dan profesional.

Raja Petra mendakwa telah berlaku satu 'pergaduhan kuasa dalaman' dalam SPRM antara Bahri dan Abu Kassim berhubung siasatan dua kes itu.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/02/01/bahri-nafi-perang-abu-kassim/

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip