Cabaran SPRM memerangi rasuah

Pagi tadi, ada satu temu bual bersama Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS), Datuk Rohaizad Yaakob di radio online SPRM iaitu MACC.FM. Banyak perkara yang dikongsikan oleh beliau kepada pendengar termasuklah pengalaman beliau serta pendedahan mengenai bahagian beliau sendiri.

Temu bual yang diadakan selama satu jam itu sangat menarik kerana ada isi-isi yang selama ini kita tidak tahu dan mendapat penerangan daripada beliau.

Antara yang dikongsikan adalah peranan dan tugas yang dikendalikan BKS, cabaran yang dihadapi, cara menangani isu dan macam-macam perkara lagi.

Tentunya yang paling menarik sekali adalah cabaran yang dihadapi beliau dan pasukannya dalam menangani isu setiap hari. Umum mengetahui, SPRM merupakan satu badan pencegahan rasuah yang menjadi perhatian ramai dalam menangani isu di negara kita. Kadang kala, isu yang tiada kena mengena dengan SPRM pun, orang tetap halakan kepada SPRM kerana masyarakat berpersepsi bahawa ada rasuah di mana-mana.

Rakyat Malaysia sebenarnya sangat bersemangat dengan isu yang melibatkan rasuah ini. Tidak dinafikan, tahap ingin tahu terhadap sesuatu siasatan kita sangat tinggi sehingga ada yang mendesak untuk mengetahui status dan jawapan yang sebenar terhadap apa sebenarnya yang berlaku.

Namun, kita lupa setiap organisasi terikat dengan undang-undang. Bukan senang-senang mereka nak dedahkan maklumat dan hasil siasatan kepada rakyat sewenang-wenangnya. Jika perkara ini berlaku, ada kemudaratan yang mungkin akan menimpa organisasi terbabit.

Di dunia ini, ramai pihak yang suka mengambil kesempatan dan berniat jahat. Tak mustahil mereka akan gunakan maklumat yang penting untuk matlamat diri sendiri. Bayangkan, siasatan masih lagi berjalan tapi ada pihak menggunakan maklumat yang ada untuk memanipulasi keadaan. Tak mustahil keadaan akan menjadi semakin teruk dan tidak terkawal lagi.

Dalam temu bualnya juga diutarakan sekali cabaran yang SPRM hadapi pada tahun lepas. Tak dinafikan, 2015 merupakan tahun yang mencabar untuk SPRM. Banyak isu besar yang dihadapi oleh SPRM termasuk kes SRC International, RM2.6b, isu melibatkan Tan Sri Ketua Pesuruhajaya, penukaran pegawai kanan SPRM dan macam-macam lagi.

Bukan senang ya nak hadapi isu-isu besar macam ni. BKS bagaimanapun, telah membuat yang terbaik bagi menyelesaikan isu yang timbul. Walaupun, ada isu yang masih lagi belum selesai sepenuhnya, kita nampak usaha yang dilakukan bagi menyelesaikan isu yang timbul tersebut.

Kesimpulannya, rakyat harus memahami tugas dan tanggungjawab yang dijalankan oleh mana-mana organisasi. Mereka tidak menjalankan tugas semata-mata untuk penuhi kepuasan mereka saja, namun untuk berkhidmat kepada rakyat juga. Berdirilah di belakang SPRM dan sokonglah mereka dalam menegakkan kebenaran.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip