Pendedahan awal tentang cegah rasuah dalam buku teks

PUTRAJAYA - Dalam usaha menerapkan nilai murni dan pembentukan sahsiah diri baik sejak di bangku sekolah, murid Tahun Enam diberi pendedahan awal tentang elemen pencegahan rasuah dalam buku teks mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali berkata SPRM bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan sejak 2011 bagi memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam pengajaran dua subjek itu.

Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan generasi muda mengetahui secara mendalam mengenai jenayah tersebut.

"Usaha sepadu ini membolehkan para pelajar mengetahui definisi, jenis-jenis dan punca rasuah, kesan bahaya, hukuman serta cara-cara menangani rasuah melalui etika dan budaya.

"Selain mendidik murid, ia juga dapat memberi pendedahan kepada golongan guru," katanya dalam wawancara bersama media di pejabatnya di sini hari ini.

Ditanya mengapa pelajar Tahun Enam dipilih sebagai perintis projek tersebut, Mustafar berkata semasa inisiatif itu bermula, buku teks Tahun Enam sedang dalam peringkat awal untuk diterbitkan dan akan diguna pakai dalam tahun ini.

"Pada 2011, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diganti kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KSSR) untuk Tahun Enam, dan pada 2012, kita mendapat ruang dan peluang berbincang dengan kementerian untuk menerapkan elemen antirasuah," katanya.

Katanya intipati modul dalam buku teks itu melibatkan maksud rasuah, perbuatan-perbuatan yang menjadi kesalahan rasuah, kesan, langkah dan kesan pencegahan dan nilai-nilai murni yang dapat mencegah daripada perbuatan rasuah.

Mustafar berkata selain guru diberi latihan di institusi pendidikan guru, pihaknya turut mengedarkan kit pengajaran bagi memudahkan mereka menyampaikan mesej pencegahan rasuah ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Sebagai perancangan masa hadapan, SPRM sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkenalkan modul khas program SPRM kepada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam beberapa tahun akan datang, katanya. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip